MOTIVASI DAKWAH

"TAKUTLAH KAMU DENGAN FIRASAT ORANG MUKMIN KERANA SESUNGGUHNYA DIA MELIHAT DENGAN NUR ALLAH"

Saudaraku,sungguh setiap orang pasti ingi mendapatkan cinta Allah .Namun bagaimanakah cara untuk mendapatkan cinta tersebut?Ibnul Qayyim Rahimatullah menyebutkan beberapa tahap menuju wahana cinta kepada Allah


1) Membaca Al-Quran dengan merenung dan memahami kandungan maknanya sesuai dengan maksudnya yang benar.


2) M endekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunat setelah mengerjakan ibadah-ibadah wajib


3) Terus menerus mengingati Allah (zikir) dalam setiap keadaan baik dengan hati dan lisan atau dengan amalan dan keadaan dirinya


4)  Cinta kepada Allah melebihi cinta kepada diri sendiri walaupun dikuasai hawa nafsunya


5) Merenungi ,memperhatikan dan mengenal kebesaran nama dan sifat Allah


6) Memperhatikan kebaikan,nikmat dan kurnia Allah yang telah Dia berikan kepada kita,baik nikmat lahiriah ataupun batiniah akan menghantar kita kepada cinta hakiki kepada-Nya 


7) Menghadirkan hati secara keseluruhan semasa melakukan ketaatan kepada Allah dengan mengenangkan makna yang terkandung di dalamnya inilah yang disebut sebagai khusyu'


8) Menyendiri dengan Allah di saat Allah turun ke langit dunia pada seprttiga malam terakhir


9) Bergaul bersama orang -orang yang mencintai Allah dan bersama para siddiqin


10) Menjauhi segala sebab yang dapat menghalang komunikasi antara dirinya dan Allah S.W.T.


Ibnul Qayyim  mengatakan bahawa,"kunci untuk mendapatkan itu semua dengan mempersiapkan jiwa(hati) dan membuka mata hati"


     Sebuah kitab menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bertanya kepada iblis,"wahai iblis laknatullah,apakah ikhtiar kamu sekarang keatas umatku, sebab aku telah dibangkitkan untuk menyelamatkan bani Adam daripada kafir kepada beriman kepada Allah S.W.T..."


    Allah telah berfirman dalam Surah An-Nisa, ayat 60 yang bermaksud:


    "...Syaitan mahu menyesatkan manusia sejauh-jauh kesesatan"


    Iblis mengangkat kepalanya ke hadrat Allah S.W.T., lalu berkata," Ya Rabbi! Demi Kemuliaan-Mu,aku akan sentiasa bersungguh-sungguh untuk menarik anak Adam melakukan kerja-kerja maksiat selagi mereka masih bernafas dan hamba akan mencampurkan lelaki dan wanita bercampur gaul secara bebas supaya hamba mencelah di dalamnya."


   Kemudian turun firman Allah yang bermaksud," Hai Mala;un, demi kebesaran-Ku! Bahawasanya Aku sentiasa sedia mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka meminta ampun daripada-Ku."


   Rasulullah S.A.W. bertanya pula,"Wahai iblis laknat,apa lagi yang engkau musykilkan?"iblis lalu menjawab,"Ya Rasulullah S.A.W. A. sebenarnya hamba hairan dengan perangai umatmu dalam dua perkara:


1) Mereka mengaku mencintai Allah S.W.T padahal mereka itu taat kepadaku denagan melakukan maksiat
2) Mereka sangat marah kepadaku,tetapi mereka sentiasa menurut hasutanku."


Allah S.W.T. berfirman ." Hai Mala'un!Demi kemuliaan-Ku dan kebesaran-Ku,sesungguhnya umat Muhammad itu ada dua kebahagiaan:


1) Kasih mereka itu kepda -Ku maka Aku jadikan kafarah (penebus dosa) bagi maksiat yang telah mereka lakukan kerana terpedaya dengan mu
2) Marah mereka kepada kamu akan Aku jadikan kafarah bagi maksiat yang mereka lakukan kepada-Ku."


    Sabda Rasulullah S.A.W. ,maksudnya, " Selalulah kamu ucapkan  La Ilaha Illallah dan beristighfar kepada Allah S.W.T. dan banyakkanlah kamu menyebut keduanya itu kerana iblis berkata." Aku binasakan manusia dengan noda dan dosa manakala aku pula dibinasakan oleh manusia dengan  La Ilaha Illallah dan Istighfar." (Riwayat Abu Ya'ala r.a.)


   TUNTASNYA,BANYAKKANLAH KITA MENYEBUT KALIMAH LA ILAHA ILLALLAH DAN ISTIGHFAR KERANA KEDUA-DUANYA MEMPUNYAI FADHILAT YANG BESAR.....


Rujukan: Salman Al-Farisi(2009).Himpunan Kisah-Kisah Teladan Siri 1,Kuala Lumpur,
Penerbitan Nurulhas

1.  Dorongan daripada diri sendiri
2.  Membenarkan ucapan dan bacaan
3.  Membuat sasaran setiap hari
4.  Meningkatkan prestasi bacaan
5.  Menghafal satu mushaf
6.  Memahami ayat al-Quran
7.  Tidak pindah ke surah yang lain sebelum hafalan sebelumnya benar-benar diingati
8.  Selalu memperdengarkan bacaaan al-Quran
9.  Selalu menjaga hafalan dengan murajaah atau iadah (mengulang)
10. Bersungguh-sungguh dan memperhatikan dengan teliti tanda baris surah yang dihafal
11. Mencatat ayat-ayat yang dihafal bagi mengukuhkan lagi hafalan
12. Usia muda waktu yang paling sesuai untuk menghafal
13. Sentiasa menjaga anggota tubuh badan daripada maksiat kerana dosa dan maksiat dapat menjejaskan hafalan
14. Selalu bertalaqi dengan guru yang mursyid




Syair malam memekik syahdu. Kelibat sang cengkerik mula menampakkan diri di celahan dedaunan hijau muda dan tua.  Ralit berzikir memuja Ilahi. Suaranya hanya alam mengerti.
Kawasan petak bersegi itu hampir lunyai dibantai kami berpasukan, rerumputnya seakan sudah segan untuk tumbuh kerana kekerapan dihinjak kaki berterusan. Jamung moden berkelip-kelip menyimbah cahaya kekuningan hasil sumber tenaga rumah Pak Malik. Keliling gelanggang dipagari buluh agar ma’ruf manusia itu adalah tempat berpencak silat.

Tanah hutan belukar itu dahulunya hanya menjadi tempat babi tunggal bermain-main, menjadi tempat nyamuk menyedut darah mangsa, bahkan menjadi laluan manusia ke sungai di seberang sana. Sebelum tanah itu dibeli oleh Pak Su untuk dijadikan kawasan penanaman sayur-sayuran, kami telah ratakan menjadi medan untuk bertempur di sebelah malamnya.
“Hah, berjantan (kekuda) molek!!” Jerit Tok Che Wachik memecah hening malam.
“Yaa, heeakk..” Kami menyambung suara bersama pukulan padu buah yang tujuh.
Saya dipasangkan berpasangan dengan abang sulung sendiri berdasarkan kesesuaian watak. Dahulu, saya dan abang sulung tidak pernah diam tanpa pertelingkahan. Kami sering menjadi pergaduhan sebagai kemuncak episod pertelingkahan. Emak pening memikirkan anak lelakinya yang dua ini sehingga pernah berbicara agar kami lekas dewasa.

Hikmah selepas menjadi pasangan dalam berguru silat membuatkan tabiat bertumbuk tidak rasmi ditukar kepada rasmi. Semenjak umur saya mencecah usia 15 tahun, saya dan abang sulung jarang sekali bergaduh.
“Kita sesama ahli silat tidak boleh bergaduh..” Pesanan itulah yang kami sematkan dalam nubari sehingga kini.

Hari Penamat Gelanggang

Gendang dipalu menggegar jantung. Gancang memeluk atma. Serunai mainan lagu rakyat tidak henti-henti ditiup beralun-alun. Penonton juga semakin ramai melingkungi gelanggang bagi melihat aksi penamat gelanggang.
Upacara mandi beramai-ramai dijalankan secara serentak. Sebaldi air disimbah ke atas setiap pesilat. Basah kuyup jadinya.
Saya tidak dapat menebak apakah tujuan aktiviti mandi ini dijalankan. Adakah untuk mencapai tahap kebal? Wallahhu a’lam.
Usai bertempur bersama golongan vetaran, kami dikehendaki menyediakan seekor ayam kampung setiap seorang.
“Ayam akan disembelih, kemudian kita akan tengok yang mana mati hampir dengan lubang yang dikorek ianya bakal menjadi tok guru silat..” Kata salah seorang penganjur yang terdiri dari golongan ‘lama’.
Dalam usia 15 tahun, saya tidak mengerti apa-apa. Akur sahaja setiap langkah yang diperturunkan.
Ayam itu juga kemudiannya dibuat jamuan makan (kenduri) beramai-ramai. Ayah saya ketika itu tidak campur tangan apa yang saya dan abang lakukan. Saya kepelikan.
Menginjak kaki ke alam universiti saya mula terfikir apakah benar dan sohih setiap perkara yang telah kami turuti itu.
“Tak cuba tanya sebab apa mereka sembelih ayam dekat lubang?” Tanya saya kepada abang sulung lewat talian internet.
“Hari tu ada tanya Tok Che Wachik, katanya ayam tu nak berjamulah sikit kat tuan tanah itu (merujuk kepada sesuatu di alam lain)..” Jawab abang ringkas. Seakan sesal dihujung perbualan.
“Nah, dah agak dah!” Bisik sendiri.

Silat Dan Unsur Khurafat

Sedar atau tidak, banyak perlakuan dan pengamalan kita seharian seringkali terjebak dengan perkara khurafat yang mengundang syirik kepada Allah SWT. Perkara ini sukar dibendung memandangkan golongan lama menganggap ianya sebagai satu adat yang perlu dipertahankan.
Lebih mengundang bahaya apabila ianya semakin membarah lalu dipraktikkan pula oleh golongan yang jahil dan tidak tahu hakikat kebenarannya. Kebanyakkan unsur khurafat ini hasil tempias budaya dan agama hindu yang menapak sebelum kedatangan Islam.
Ternyata bila diselidiki, masih ramai pengamal ilmu silat memasukkan unsur-unsur ilmu kebal, pemujaan, pertapaan dan unsur khurafat di setiap akhir pembelajaran silat.

Syirik Sebesar-besar Dosa

Tidak kira apa jua perbuatan samaada bersilat atau perubatan seandainya wujud unsur-unsur kepercayaan khurafat pada sesuatu selain Allah SWT maka jelas ianya boleh mengundang tergelincirnya iktikad pada Allah Yang Satu. Firman Allah SWT mengingatkan kita:
“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’: 48)
Berbicara soal syirik, ia sebenarnya mempunyai beberapa cabang yang utama antaranya ialah:-
1. Syirik khafi (tersembunyi)
Syirik khafi (tersembunyi) ini adalah bermaksud sesuatu perbuatan yang boleh menghilangkan pahala seseorang. Misalnya si fulan telah melakukan ibadah atau amal kebajikan, namun ianya disertai dengan riak dan takbur. Maka secara halusnya ia mengikis pahala yang dicari.
1. Syirik jali (terang dan nyata).
Syirik jali (terang dan nyata) adalah amat berbahaya jika menjadi amalan umat Islam kerana ianya boleh menghumban manusia ke lembah kekufuran yang nyata. Nauzubillahhiminzalik. Di antara keadaan yang boleh berlaku apabila syirik ini membarah ialah:
  1. Apabila hati dan jiwanya telah beriktikad menafikan kewujudan Allah SWT maka ianya telah mengundang syirik jali dan menyebabkan dirinya terkeluar dari agama Islam. Jika terlihat fahaman-fahaman yang berpendapat sedemikian rupanya maka jelaslah golongan ini telah terkeluar dari agama Islam.
  2. Syirik Jali akan terjadi melalui perbuatan dan amalan seseorang di dalam kehidupan. Misalnya apabila individu itu telah melakukan aktiviti penyembahan kubur, berhala, patung-patung, memuja nombor ekor, memohon pertolongan jin dan syaitan dan lain-lain perkara yang melibatkan kepercayaan selain Allah SWT. Terdapat sesetengah pendapat ulama’ mengatakan bahawa terlalu memuja-muja pemimpin dan mengagungkannya juga termasuk dalam kategori ini.
  3. Dengan jelas menuturkan kata-kata menghalalkan apa yang diharam dan mengaku keluar daripada agama Islam. Maka ianya boleh mengundang jatuhnya Syahadah ketauhidan.
Andai tergelincir diri pada perkara kesyirikan, maka adalah wajib kembali bertaubat dan mengucap syahadah semula, katakanlah Allah itu SATU. Lailahaillah MuhammadurRasulullah!



Menjadi pemimpin bukan mudah. Tapi zaman sekarang semua orang kemaruk untuk jadi pemimpin. Hayatilah kisah ini untuk menilai layakkah kita untuk meminta-minta jawatan pemimpin.

Dari hal keadilan, ketakwaan dan kemuliaan budi baginda Umar bin Abdul Aziz, tidaklah perlu lagi diterangkan panjang lebar. Kisahnya panjang lebar telah dikarang oleh ulama-ulama.

Sesungguhpun dia telah mencapai kedudukan yang semulia itu, belumlah dia kenyang dari petunjuk ulama dan pimpinan seorang yang arif.

Pada suatu hari berkirim suratlah baginda kepada ulama Tabi’in yang masyhur, Hasan Basri, bertanya kepada beliau dari hal sifat-sifat Imam (raja) yang adil. Maka telah menjawab Hasan Basri demikian bunyinya:

“Ketahuilah hai Amirul Mukminin, bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan raja yang adil laksana tongkat tua yang teguh condong yang akan menauri, lemah yang akan membila. Dia menjadi tujuan dari segala orang yang ragu, memperbaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, tempat mengadu bagi tiap-tiap yang teraniaya, tempat kembali dari tiap-tiap yang sengsara.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang pengembala yang hati rahim kepada binatang pengembalaannya; dibawanya ke padang yang berumput subur, dijaganya jangan jatuh ke lurah yang curam, dijaganya dan dipeliharanya jangan ditangkap binatang buas, dipeliharanya jangan ditimpa dahaga dan kepanasan.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang cinta akan anak-anaknya, diasuhnya semasa anak itu kecil, diajarnya setelah anak itu besar, dituntunnya di dalam mencari penghidupan, dikumpulkannya harta bersusah payah, untuk anaknya itu jika si ayah mati.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ibu yang pengasih, dikandungnya anaknya dalam perutnya dengan susah payah, diasuhnya setelah anak itu lahir. Tidak tidur matanya malam, jika anaknya bangun, dia termenung jika dilihatnya anaknya duka, disusukannya; puas disusukan digendungnya. Mukanya berseri-seri jika si anak sihat, mukanya muram jika si anak sakit.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang yang berdiri di antara Allah dengan hamba-Nya, didengarnya Maha Tuhan dengan tenang, setelah itu diterangkannya bagaimana wajah-Nya kepada mereka. Dibimbingnya tangan umat supaya sama-sama ke hadrat Rabbi, memohonkan kurnia-Nya.”

“Oleh sebab itu ya Amirul Mukminin, janganlah paduka sebagai budak yang dipercayakan oleh penghulunya kepadanya menyimpan hartanya dan memelihara kaum kerabatnya, lantas budak itu khianat akan amanat, dimusnahkannya harta benda itu dan disia-siakannya petaruh.”

“Kemudian itu ingatlah ya Amirul Mukminin akan maut dan apa yang akan kejadian sesudah mati. Ingatlah bahwa persedian paduka agaknya sedikit, orang yang akan menolong paduka tidak ada. Bersiaplah untuk menghadapi mati, dan untuk menghadapi zaman sesudah mati.”

“Ketahuilah pula ya Amirul Mukminin, bahawa paduka akan tinggal dalam sebuah rumah yang tidak serupa dengan rumah yang paduka diami sekarang. Lama sekali paduka akan mengeluh di sana, dan tidaklah seorang juga yang akan menemuinya, hanya tinggal seorang diri dalam kesunyian."

"Oleh sebab itu berkemaslah dari sekarang dan bersiaplah. Kerana perkemasan dan persiapan yang disediakan lebih dahulu, itulah hanya yang akan menolong di sana kelak, iaitu pada waktu lari padanya manusia daripada saudaranya dan ibunya daripada ayahnya dan isterinya, daripada anaknya sekalipun.”


“Ingatlah ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan hati-hati, akan suatu masa kelak yang akan dibongkar segala isi kubur, akan dikupas segala isi dada, segala rahsia pada hari itu akan terbuka. Semuanya tertulis dalam kitab, baik besar mahupun kecil semuanya dihitung.

“Maka sekarang ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama, sebelum ajal sampai janji mendatang, sebelum hukum putus angan berhenti:

Jangan paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan, jangan paduka bawa mereka ke jalan aniaya, jangan diangkat orang-orang yang takbur menjadi pegawai, memerintah orang yang lemah. Sebab m
ereka menjatuhkan perintah dengan sesuka hati dan semahu-mahunya saja. Kelak padukalah yang akan menanggungjawab atas dosa mereka, dan yang bertali dengan itu, dikumpulkan dengan dosa paduka sendiri.

Janganlah paduka terpedaya oleh tipuan orang-orang yang menelah nikmat kesusahan paduka. Mereka makan segala yang enak-enak di dunia, supaya paduka menelan segala kesusahan di akhirat.

Jangan paduka berbesar hati lantaran mempunyai kekuatan pada diri ini, tetapi fikirkanlah kekuatan untuk dari jiwa yang akan dicabut, pada waktu mana seluruh badan paduka diikat oleh rantai kematian, atau berdiri di hadapan Allah, dikelilingi oleh sekalian Malaikat. Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Pada waktu mana seluruh wajah makhluk, menghadap kepada Yang Hidup dan Yang Kekal!”

“Adapun patik sendiri ya Amiru Mukminin, meskipun nasihat patik ini tidak sebagus nasihat-nasihat orang-orang yang lebih muda daripada patik pada zaman dahulu, namun patik amat cinta kepada tuanku dan amat ikhlas. Oleh sebab itu pandanglah isi surat patik ini, laksana ubat yang diberikan oleh seorang kecintaan kepada kecintaannya yang sakit. Meskipun agaknya pahit, moga-moga di dalam kepahitan itu ada tersimpan kesihatan dan afiat.”



Dipetik dari Lembaga Hikmat, karya Hamka

KAMU LAKUKAN DOSA KERANA KEJAHILAN,LALU SEGERA BERTAUBAT...

Firman Allah, maksudnya:"sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggupi oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan , kemudian mereka segera bertaubat.Maka (dengan adanya dua sebab itu )mereka diterima Allah taubatnya .Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana ."(surah al-Nisa' 4:7)



KAMU LAKUKAN DOSA TETAPI KEMUDIAN KAMU INSAF DAN BERUSAHA MEMPERBAIKI DIRI..


Firman  Allah , maksudnya :"Dan mana-mana dua orang diantara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu , maka hendaklah kamu menyakiti keduanya ,kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk),maka biarkan mereka ,kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima Taubat , lagi Maha Luas rahmat-Nya."
(Surah al-Nisa' 4:16)


DIA MEMAAFKAN KESALAHAN YANG KAMU LAKUKAN ...


Firman Allah , maksudnya :"Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya(yang bertaubat )serta memafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan),dan Dia mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."(Surah al- Syura 42:25)


DIA MEMAAFKAN KESALAHAN SESIAPA SAHAJA YANG DIKEHENDAKI-NYA


Firman Allah, maksudnya :"Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang yang beriman itu,dan Allah akan menerima taubat orang yang dikehendaki-Nya,dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"(Surah al-Taubah 9:15)





Biarlah dia seorang yang buta
Kerana matanya sunyi dari melihat
perkara-perkara maksiat dan laghah
Kerana kedua matanya terpelihara dari
memandang aurat wanita ajnabi
Asalkan kedua matanya terang
dalam memerhati keagungan ciptaan Allah
Asalkan dia celik
dalam melihat kesengsaraan umat Islam
di Palestin, Bosnia, Ambon dan seumpamanya

Biarlah dia seorang yang bisu
Bisu dari pujuk rayu yang bisa mengoncang keimanan
Bisu dari mengungkapkan ungkapan yang bisa meracun fikiran
Bisu dari perkataan yang bisa mengundang kekufuran
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingati Tuhan
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran
Asalkan dia petah
membangkang kemungkaran
dan dia lantang
menyuarakan kebenaran

Biarlah dia seorang yang bakhil
Bakhil dalam memberi senyuman
pada wanita yang bukan mahramnya
Bakhil dalam meluangkan masa
untuk membuat temujanji
dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya
Bakhil untuk menghabiskan wang ringgitnya
kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya
Tetapi dia begitu pemurah
meluangkan masanya untuk beribadah
dengan Khaliqnya
Dia begitu pemurah
untuk mempertahankan aqidahnya
Pemurah dalam memberikan nasihat dan teguran
Sehingga dia sanggup
menggadaikan hartanya
bahkan nyawanya
demi melihat kalimah syahadah
Kembali megah di muka dunia

Biarlah dia seorang yang papa
Papa dalam melakukan perkara maksiat
Papa dalam ilmu-ilmu yang tidak berfaedah
dan tidak bermanfaat
Papa memiliki akhlaq mazmumah
Tetapi dia cukup kaya
dalam pelbagai ilmu pengetahuan
Dia begitu kaya
memiliki ketinggian akhlaq
dan budi pekerti yang mulia
Dia begitu kaya
dengan sifat sabar
dalam mengharungi tribulasi kehidupannya
Dan dia seorang yang kaya
dalam menanam impian
untuk menjadi seorang syuhada
yang syahid di jalan Allah.


 

1. Barang siapa yang salah dalam memilih sahabat,maka dia akan menyesal di hari akhirat .
     Allah berfirman:

    ''wahai celakanya aku,alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib"


     (surah Al-Furqan,ayat 28)

2. Firman Allah:
    
    '' Pada hari itu sahabat-sahabat karib ,setengahnya akan menjadi musuh kepada setengah yang lain,kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa(iman dan amal soleh)
     
      (surah Az-Zukhruf,ayat 67) 

3. ''Orang-orang yang saling mencintai kerana Allah S.W.T. kelak pada hari kiamat mereka akan  kerusi-kerusi di sekitar Arasy Allah,serta wajah-wajah mereka akan bercahaya  seperti bulan purnama ,dan mereka tidak berasa takut waalau sedikit pun"
  
      (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

4.  Imam al-Ghazali berkata:

   ''Persahabatan adalah mutiara yang halus dan jagalah persahabatan tersebut dengan baik kerana persahabatan  yang tidak terjaga akan mendatangkan bencana" 

5. "Menghubungkan tali persaudaraan adalah satu perbuatan yang dapat menyebabkan kita masuk ke syurga"

      (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

6. "Seorang mukmin adalah seseorang yang sentiasa memperbaiki persahabatannya."

     (Riwayat Termidzi)




Rasanya isu ini telah lama muncul.  Sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diwujudkan ketika era mantan perdana menteri Tun Doktor Mahathir Mohamad dulu, telah ada suara-suara yang mendesak agar akta ini dimansuhkan.  AUKU didakwa menekan dan menyekat suara golongan mahasiswa. Beberapa hari lepas isu ini timbul lagi buat kesekian kalinya berikutan kebenaran yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada guru sekolah untuk menyertai politik .  Akta Universiti dan Kolej Universiti boleh diumpamakan seperti peraturan sekolah dulu.  Apalagi tujuannya kalau bukan untuk mendisiplinkan pelajar itu sendiri.




 
Salah satu fasal yang terkandung di dalamnya ialah larangan terhadap mahasiswa untuk berpolitik kepartian.
15 (5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap :


       Mana-mana parti politik sama ada di ada di dalam atau di luar Malaysia.


Ketika kempen pilihnraya  Parlimen Hulu Selangor beberapa bulan yang lalu, 4 orang mahasiswa UKM telah didakwa di mahkamah universiti atas kesalahan seperti dalam akta yang saya nyatakan tadi.
 
Kelmarin, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan akan kesediaan kerajaan untuk berbincang dengan semua pihak termasuk daripada wakil mahasiswa bagi meminda AUKU yang dilihat sebagai penghalang kepada mahasiswa untuk menyatakan pendirian dan pendapat  mereka tentang sesuatu  isu yang berlaku di Negara kita.Tujuan utamanya adalah untuk melonggarkan peraturan sedia ada supaya mahasiswa dibenarkan terlibat dalam politik kepartian.
 
Jujurnya , saya berminat mengambil tahu perkara berkaitan politik dan isu semasa di negara ini selepas PRU 2008 lalu yang memperlihatkan keadaan politik negara yang tidak stabil.Tapi tak bermakna saya berminat untuk berpolitik dan jauh sekali bercita-cita untuk menjadi ahli politik ! Tapi tahukah anda, mengambil tahu hal berkaitan politik merupakan salah satu tanggungjawab kita sebagai seorang rakyat Malaysia? Sebab dengan kesedaran politiklah yang bakal menentukan  siapa yang bakal anda undi ketika pilihanraya umum nanti.Malaysia merupakan Negara demokrasi.Jadi kita bebas untuk memilih mana-mana parti yang kita rasa selari dengan kehendak dan aspirasi sendiri.
 
Secara umumnya saya menyokong agar akta ini dipinda untuk membolehkan mahasiswa terlibat dengan politik.Ketika ini, rata-rata mahasiswa tidak mengambil tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.  Tumpuan hanya pada pelajaran dan perkara lain.  Apa-apa isu semasa pun ada yang tak tahu langsung.  Tiadanya link yang kuat antara mahasiswa dan parti politik menyebabkan masalah dan suara mereka tidak mendapat perhatian kerana kebanyakan pemimpin politik sendiri sudah ‘berusia emas’.  Keluhan dan cadangan dipandang sepi.
 
Suara mahasiswa tak sepatutnya dipinggirkan.  Pepatah orang tua lebih banyak makan garam tak sepatutnya menjadi alasan.  Jika kita lihat majoriti pemimpin kerajaan dan pembangkang ketika ini adalah seorang yang aktif berpersatuan dan berpolitik ketika zaman belajar mereka dulu.  Lagipun AUKU belum wujud lagi masa tu.  Maka, apa salahnya jika peluang yang sama diberikan kepada mahasiswa sekarang? Demokrasi yang sihat harus diterapkan dari awal agar kematangan kita dalam berfikir juga dididik dari awal lagi.
 
Namun setiap kebebasan ada hadnya.  Cadangan ini harus diperhalusi dengan mendalam agar kebebasan mahasiswa terjamin dan pada masa yang sama ianya tidak disalahgunakan oleh mereka yang tak bertanggungjawab.  Idea dan saranan terpulang kepada pihak yang dijemput untuk bermuzakarah nanti.  Mahasiswa yang bercita-cita hendak menyertai politik jangan abaikan pelajaran pula.Ingatlah, amanah ibu bapa besar juga.
 
 

        Setiap orang adalah unik. Setiap orang ada kelebihan dan kekekurangannya yang tertentu. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Rasululluh s.a.w kerana baginda telah ditentukan maksum.
Selebihnya tidak terkecualai daripada sifat lemah, buruk, hina, sakit san bermacam-macam perkara lagi. Anda tidak perlu berasa susah hati lantaran gemuk, tidak menarik, terlalu rendah malah cacat.
Biar bagaimana keadaan anda, anda tetap unik dan tanpa anda alam ini tidak sempurna.
Memang Allah menjadikan manusia pelbagai rupa dan gaya. Disitulah berkuasanya Allah. Dia berhak dan mampu berbuat apa saja mengikut kehendak-Nya.


       Kita memang tidak ada pilihan untuk mempersoal itu ini, mempertikai itu ini. Anda mungkin berasa rendah hati melihat kekurangan-kekurangan yang ada pada diri anda.
Nah, anggap ia satu kelebihan. Jika anda sangka anda buruk, ia satu kelebihan yang tiada pada orang cantik. Anda sangka kecantikan sentiasa membawa untung? Tidak, tidak selalunya begitu.
Kadang-kadang kecantikan memusnahkan. Setelah anda dikenali sebagai cantik, ketakutan anda terhadap keburukan lebih besar daripada jika anda semulajadinya buruk. Orang cantik fobia menjadi buruk.
Setiap kedutan di wajah akan dirawat dan setiap kedutan begitu menyusahkan dirinya. Saat menjadi buruk pasti tiba, bagaimanakah perasan si cantik meghadapi hari tua mereka? Bukankah rasa susah yang tiada kesudahan?

         Kadang-kadang seekor semut diberikan sayap oleh Allah supaya dia boleh terbang dan menerjah api.
Samalah halnya, kadang-kadang seseorang manusia itu diberikan kecantikan supaya dengan kecantikan itu dia boleh berbuat sebanyak-banyak mungkar untuk diberikan balasan setimpal di Akhirat.
Tontonlah filem atau drama-drama di TV. Kisah hidup orang cantik selalunya penuh duri. Jika anda buruk setidak-tidaknya anda bebas rasa riak dan takbur.

        Penghuni neraka kebanyakkannya wanita sebagaimana disabdakan Rasullah s.a.w wanita itu tentu yang cantik tapi gagal memahami untuk apa kecantikan itu diberikan Allah kepadanya.
Dan wanita itu tidak terkecuali juga yang buruk sebab dia berterus-terusan saja mempertikaikan kerja Tuhan.
Siapakah wanita penghuni syurga itu, barangkali yang cantik dan dia sentiasa faham kecantikan itu ukuran manusia . Cantik pada pandanagn Allah adalah ketaatannya terhadap semua perintah dan laragan Allah.
Barangkali juga yang buruk tapi dia faham Allah tidak memandang rupa paras tapi apa yang ada di dalam hatinya. Wahai orang cantik, orang buruk, orang rendah, orang cacat, semuanya itu hanyalah ukuran manusia dan ukuran manuisa selalunya sasar.

       Hargai diri anda sebab kewujudan anda mambuktikan kekuasaan Allah!

PENDAHULUAN
Surah Al Baqarah [2] : [255]
".....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)."







PENGENALAN

Ilmu
Di dalam al-Quran ilmu dapat dimaksudkan dengan pelbagai makna, tetapi di sini cukuplah dengan membicarakan pengertian ilmu itu dalam Bahasa Melayu sahaja. Ilmu menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bererti ;

1. Pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.
2. Kajian dalam sesuatu perkara.
3. Hadirnya makna dalam diri seseorang.

Dari segi pemahaman yang mudah, ilmu bermaksud suatu pengetahuan yang merangkumi pengetahuan yang diperolehi melalui belajar atau proses dan aktiviti pembelajaran seperti pemerhatian, kajian, eksperimen dan sebagainya serta boleh juga diperolehi melalui pengalaman.
Ilmu juga merangkumi pengetahuan mengenai perkara yang berasaskan kebenaran, kebatilan, keraguan (bimbang atau bingung) dan syak (was-was). Selain dari itu, ilmu juga berbentuk umum yang meliputi
pengetahuan mengenai hal-hal keduniaan dan akhirat, iaitu ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Fardhu Ain : Ilmu yang wajib dipelajari seperti tauhid (mengesakan Allah yang Maha Agung), syariat (solat, mempelajari al-Quran atau mempelajari perintah dan larangan) dan tasauf (ilmu akhlak atau sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat yang dikeji seperti adab berjiran, adab bergaul, adab selisih faham, adab makan, adab mandi dan lain-lain). Keingkaran untuk mempelajari fardhu ain ini bagi setiap individu hukumnya adalah berdosa.

Fardhu Kifayah : Ilmu yang menjadi tanggungjawab sekumpulan tertentu bagi mewakili orang Islam, atau untuk mewakili masyarakat. Andaikata tiada seorang pun di kalangan orang Islam yang mempelajarinya, maka semua ahli masyarakat berdosa. Contohnya, ahli tafsir, usahawan, saintis, doktor dan lain-lain.
Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Mencari ilmu adalah fardhu bagi setiap orang Islam." (Sahih – Ibnu Majah [0184])

ISI PERBINCANGAN

Tujuan Menuntut Ilmu

1. Memperbaiki Diri
Surah Al-'Ankabuut [29] : 69

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."

Antara tujuan utama kita dalam menuntut ilmu adalah agar dapat memperbaiki diri. Memperbaiki diri bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah ilmu pengetahuan serta membawa ibadah dan juga taraf kehidupan ke tempat yang lebih tinggi dari sebelumnya. Dengan menuntut ilmu kita secara tidak langsung bukan sahaja mendapat petunjuk, malah dipimpin ke jalan yang lurus. InsyaAllah yang Maha Tinggi.
Contohnya, dengan menuntut ilmu kita dapat;

(a) Mendapat keyakinan yang lebih dalam ibadah.
(b) Solat terasa lebih khusyuk dari sebelumnya.
(c) Peningkatan kerjaya.

Pelbagai lagi nikmat yang akan kita perolehi dalam usaha memperbaiki diri, malah tidak terhitung dan cukuplah tiga contoh di atas. Sekiranya kita memahami ayat di atas (Surah Al-'Ankabuut [29] : 69) nikmat terbesar adalah mendapat pertolongan dan bantuan Allah yang Maha Agung. Pertolongan dan bantuan siapakah yang lebih besar dari itu?

2. Mensyukuri Nikmat Allah yang Maha Agung
Surah An-Naml [27] : 15

"Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman."

Walaupun ayat berkenaan tentang ilmu yang diberikan kepada Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as, namun lafaznya umum. Antara nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah nikmat akal untuk belajar dan memahami ilmu dalam menjalani kehidupan di dunia dan persediaan untuk akhirat. Maka antara tujuan kita dalam usaha menuntut ilmu adalah sebagai tanda syukur atas segala macam nikmat-Nya.
Dengan ilmulah kita mengenal cara melaksanakan ibadah dan kategorinya; dan dengan ilmu jugalah kita mengenal kebaikan dan kejahatan; dan dengan ilmu juga kita mengetahui tentang dunia dan akhirat. Maka wajiblah kita bersyukur atas nikmat yang tak terhingga ini, iaitu nikmat akal dan ilmu pengetahuan.
Surah Al-Baqarah [2] : 269

"Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya."
Khalifah Umar bin Abdul Aziz : "Barangsiapa beramal tanpa ilmu, maka yang rosak lebih banyak daripada yang benar."

3. Menegakkan Agama Islam
Surah At-Taubah [9] : 122

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."

Menegakkan agama Islam bermaksud memuliakan, mengamalkan perintah dan larangannya, melaksanakan hukum-hukumnya, dan menyebarkannya dengan cara; melalui umat Islam yang beriman, beramal soleh dan bertamadun; iaitu berpendidikan, mampu memerintah, adil dan mampu memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah yang Maha Tinggi di muka bumi.
Ia merangkumi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta meliputi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.
Di dalam tafsir Ibn Katsir, antaranya diterangkan mengenai ayat di atas (Surah At-Taubah [9] : 122) sebagai dua tugas yang terpadu. Sebahagian pergi berperang, sebahagian lagi menuntut ilmu. Ini menunjukkan tingginya darjat orang yang menuntut ilmu hingga disamakan dengan orang yang pergi berjihad. Walau bagaimanapun, tidaklah bermaksud hendak meremehkan jihad menentang orang-orang yang memerangi Islam.
Persoalannya, bagaimana ilmu itu boleh menegakkan Agama Islam? Di sini, kita melihat dari segi faktor semasa sahaja. Antaranya, kita perlu ubah persepsi kita mengenai contoh fardhu kifayah. Rasanya sejak dari kanak-kanak, kemudian dewasa hingga tua kita dihadapkan dengan contoh ini; iaitu mengaitkan contoh fardhu kifayah hanyalah - pengurus jenazah atau orang memandikan, mengafankan dan segala perihal tentang jenazah.
Sebenarnya yang termasuk dalam fardhu kifayah itu antaranya adalah; ahli tafsir, usahawan, saintis, ahli fizik, pakar kimia, doktor, pakar komputer, pakar enjin, arkitek dan lain-lain. Mungkin kita melihat seperti remeh, tetapi inilah yang secara tidak sengaja telah tertanam dalam akal fikiran kira sebelum ini. Akhirnya kita menganggap fardhu kifayah adalah perkara yang mudah dan memandang ringan padanya, akibatnya umat Islam (Malaysia khususnya) kekurangan tenaga pakar dan mahir dalam pelbagai bidang.
Sekiranya umat Islam ketandusan para ilmuwan ini, maka siapakah yang ingin menghormati orang Islam? Apalagi Agama Islam. Bukankah Allah yang Maha Agung telah berfirman;
Surah Al-Mujaadalah [58] : 11

".....nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat....."

Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya mengenai ayat ini berkata, 'Darjat orang mukmin melebihi darjat orang bukan mukmin. Darjat orang berilmu melebihi darjat orang yang tidak berilmu.'
Di dalam ayat yang lain Allah yang Maha Tinggi berfirman;
Surah Az- Zumar [39] : 9

"....Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."

Tentulah tidak sama antara orang yang pakar dan tidak pakar. Perkataan orang yang pakar lebih dipercayai. Contohnya dalam pembinaan sebuah bangunan, kita mahu mempercayai cakap arkitek atau buruh binaan? Begitu juga dalam menegakkan agama Islam, tentulah orang yang berilmu lebih didengari percakapannya berbanding dengan orang yang kurang ilmunya.
Maksudnya orang Islam yang mempunyai kepakaran dan kemahiran yang tinggi, secara automatik memberi impak kehormatan kepada Islam itu sendiri; iaitu agama Islam dan penganutnya akan dihormati dan dipandang tinggi oleh orang bukan Islam, secara tidak langsung Islam dapat ditegakkan.
Surah As-Saff [61] :14

"Hai orang-orang yang beriman,  jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah",  lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang."

4. Berfikir Dengan Adil

Berfikir bermaksud menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu, manakala adil pula bermaksud meletakkan sesuatu perkara sesuai pada tempatnya. Ramai yang berpendapat adil bermaksud sama rata, ini adalah pemahaman yang salah. Jadi, berfikir dengan adil bermaksud menggunakan akal dalam mempertimbangkan sesuatu perkara agar bertepatan dan bersesuaian pada tempatnya.
Surah Yunus [10] : 35-36

"Maka apakah orang-orang yang menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk? Mengapa kamu (berbuat demikian)? Bagaimanakah kamu mengambil keputusan?"

Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Dengan adanya ilmu, kita dapat membuat dan melaksanakan keputusan, ibadah, pekerjaan dan lain-lain hal berkaitan kehidupan dengan lebih bijak, tepat dan teratur; iaitu mengutamakan yang lebih penting dari yang penting. Antara beberapa contoh;

(a) Mengutamakan mempelajari fardhu ain dari fardhu kifayah.
(b) Mengutamakan amal yang bermanfaat dari yang kurang bermanfaat seperti, memilih beramal dengan sedikit tetapi berterusan daripada beramal dengan banyak tetapi setahun sekali.
(c) Mengutamakan mengajar atau menyuruh anak-anak kecil bersolat dari berpuasa kerana biasanya orang yang tidak meninggalkan solat pasti berpuasa (yang berkemampuan) dan orang yang berpuasa belum tentu penuh solatnya. Sesuai dengan firman Allah yang Maha Tinggi dalam,
Surah Al 'Ankabuut [29] : 45
".....Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar...."
(d). Mengutamakan ibadah fardhu dari ibadah sunat dan mengutamakan sunat yang mu'akkad; iaitu sunat yang dituntut seperti mengutamakan solat rawatib mu'akkad, solat tahajjud daripada solat terawih, solat sunat musafir dan lain-lain.
(e). Mengutamakan mencintai Rasulullah saw daripada orang lain.

"Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya".
(Sahih Muslim [0035])"

Ini hanya sebahagian contoh sahaja, banyak lagi perkara-perkara yang perlukan pertimbangan akal yang adil dalam menjalani kehidupan di dunia ini.
Surah Al-Baqarah [2] : 219

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.  Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya..."
Ayat di atas sebagai contoh mengapa kita perlu berfikir dengan adil, ini adalah perkara yang sangat-sangat penting.

Antara Kesan atau Kelebihan Menuntut Ilmu

1. Doa cepat dimakbulkan
Surah An-Naml [27] : 40

"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia:
"Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah."

Umum mengetahui ayat di atas mengenai pemindahan singgahsana Ratu Balqis ke istana Nabi Sulaiman a.s. Malah jin 'Ifrit juga tidak dapat menandingi kehebatan orang yang berilmu. Perlu diingat, kisah ini hanya berlaku pada zaman Nabi Sulaiman a.s.
Bukanlah bermakna kita perlu belajar ilmu yang dapat mengubah 'KLCC' ke tempat lain sekelip mata, ini hanya contoh betapa hebatnya orang berilmu kerana doanya dimakbulkan dengan cepat, insyaAllah yang Maha Berkuasa. Zaman ini, jika ada seseorang berkata dapat mengubah sesuatu bangunan dalam sekelip mata ke tempat lain, itu adalah sihir.

2. Dinaikkan darjat

Surah Al-Mujaadalah [58] : 11

"....Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Contoh yang paling mudah antaranya;
(a) Peniaga yang mempelbagaikan jualannya dan kreatif, lebih banyak keuntungan dari peniaga yang menjual satu jenis barangan sahaja.
(b) Pekerja yang berilmu (mempunyai ijazah dan sebagainya) lebih tinggi gajinya dari pekerja yang kurang ilmunya.
(c) Pelajar yang tekun belajar, lebih pandai dari pelajar yang malas belajar.
(d) Guru dihormati oleh pelajarnya. Mereka yang tidak menghormati gurunya tergolong dalam orang yang jahil.

3. Tidak tersesat

Surah Al-Hajj [22] : 54
"..dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawasanya Al Quran itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus."

4. Dikurniakan nikmat kesabaran
Surah Al-Qasas [28] : 80

"Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar."

5. Dipermudahkan ke syurga
"Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga." (Sahih, At-Tirmidzi [2646])"

Banyak lagi kelebihan-kelebihan orang-orang yang berilmu pengetahuan yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis.

Antara Halangan-Halangan Menuntut Ilmu

Diantara halangan yang menyebabkan ramai orang yang ambil remeh dalam hal menuntut ilmu, diringkaskan seperti berikut;

1. Anggap Diri Sudah Cukup
Surah Al-Mu'min [40] : 83

"Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu."

Menganggap segala pengetahuan mereka lebih banyak dari orang lain dan tak perlu menuntut ilmu lagi. Hal ini hanyalah satu kesombongan dari hasutan syaitan.

2. Sibuk

Surah Al-'Asr [103] : 1-3

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."

Kesibukan adalah apabila kita tidak pandai menghargai masa. Semua manusia akan mengalami kerugian kecuali empat sifat di atas, iaitu;

(a) Iman – Memahami dan melaksanakan rukun iman.
(b) Amal soleh – Mentaati dan melaksanakan hukum-hukum, perintah dan larangan Allah yang Maha Agung.
(c) Nasihat kebenaran – Memberi pengajaran, bimbingan atau mengajak kepada kebaikan dan menjauhi serta mencegah kemungkaran.
(d) Menasihati agar bersifat sabar – Bersabar atau redha pada qada' dan qadar.
Kita tidak ketahui akan perkara-perkara di atas kecuali dengan menuntut ilmu.

3. Lalai

Lalai terbahagi kepada dua, namun berkaitan iaitu;
(a) Urusan di dunia – Membuat perkara-perkara yang tidak bermanfaat pada diri dan masyarakat.
Al-Hadiid [57] : 20

"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang
banyaknya harta dan anak,...."

(b) Urusan menghadapi akhirat – Tidak mengingati mati lalu menjadi malas untuk beribadah, apalagi untuk menuntut ilmu.
Surah Ar-Ruum [30] : 8

".....Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya."

Antara Akibat Jahil

1. Mengikut hawa nafsu
Surah Al-Jaatsiyah [45] : 18

"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui."

Orang yang jahil hanya mengikut hawa nafsu sahaja dalam berfikir dan menganggap akal dan ilmu pengetahuannya lebih hebat dari syariat, lalu melanggar segala macam hukum dari al-Quran dan al-hadis.

2. Menjadi zalim dan tersesat
Surah Ar-Ruum [30] : 29

"Tetapi orang-orang yang zalim, mengikuti hawa nafsunya tanpa ilmu pengetahuan; maka siapakah yang akan menunjuki orang yang telah disesatkan Allah? Dan tiadalah bagi mereka seorang penolongpun."

Setelah mereka (orang-orang yang jahil) ini melanggar segala macam syariat, maka mereka terdedah kepada kesesatan dan seterusnya berbuat kezaliman; iaitu menyesatkan orang lain dan meruntuhkan akhlak masyarakat yang terikut-ikut dengan mereka, akibatnya berlaku ketidakharmonian dalam masyarakat.

3. Cenderung menjadi pengikut syaitan
Surah Al-Hajj [22] : 3

"Di antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat,..."

Mereka yang tidak berilmu seringkali bercakap perkara yang mereka agak-agak sahaja terutamanya dalam hal agama yang boleh membawa kepada kekufuran tanpa mereka sedari. Perkataan yang mereka keluarkan tidak lain, kecuali mengikuti hawa nafsu yang dibisikkan oleh syaitan sahaja.
Sekiranya kita ragu-ragu tentang sesuatu perkara atau ingat-ingat lupa, janganlah berkata-kata untuk berbangga diri atau berasa malu cakap tidak tahu, tanyalah kepada orang yang berilmu.
Al Anbiyaa' [21] : 7

"....maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui."

KESIMPULAN

Islam didasari dengan ilmu. Tidak ada satu pun permasalahan kecuali diajar dalam Agama Islam bagi mereka yang mahu menggunakan akal dan menuntut ilmu.
Ali 'Imran [3] : 18

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Hanya dengan ilmulah kita dapat mempertabatkan umat Islam dan menjaga kemuliaan Islam, yang kini dimana-mana pun umat Islam diperbudak-budakkan dan agama Islam diperlekehkan.
At Taubah [9] : 128

"Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin."

Marilah kita mencontohi sikap para Nabi 'alaihi salam; iaitu berasa sedih akan penderitaan masyarakat Islam sekarang yang ditendang dan dipermainkan sesuka hati. Moga-moga Allah yang Maha Penyayang memenangkan kita ke atas musuh-musuh Islam.
Namun perlu diingat setinggi mana ilmu kita, tidak dapat kita mengatasi mukjizat para Nabi as dan setiap yang mengetahui, ada lagi yang lebih mengetahui.
Marilah kita merenung ayat di bawah, luasnya ilmu Allah yang Maha Tinggi tidak terhingga. Allah yang Maha Agung berfirman dalam;
Surah Al-Kahfi [18] : 109

"Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).."

Surah Luqman [31] : 27

"Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Rujukan :
Al-Quran terjemahan,
Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir Al-Munir,
Kitab-kitab hadis sahih,
Krisis Dalam Pendidikan Islam [Dr. S.S Husain dan Dr. S.A Ashraf ],
Ihya' Ulumuddin [Imam Al-Ghazali],
Ilmu Mantik [Ustaz Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin],
Berfikir [Harun Yahya],
Fiqh Keutamaan [Dr. Yusuf Al-Qardhawi],
Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri [Za'ba].

HAFIZI AL-HAFIZ

HAFIZI AL-HAFIZ
Nama beliau Muhammad Hafizi bin Rajiman. Bekas penuntut di SBPI Gombak dan Darul Quran JAKIM. Beliau merupakan aktivis dakwah kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dakwah.Beliau mula aktif dalam bidang penulisan sejak pertengahan tahun 2011 dalam blog peribadi beliau, hafizimujahid.blogspot.com

Qalam Qalbi

"Tahap cinta seseorang manusia kepada Allah adalah sejauh mana dia mengenal Allah.''

Popular Posts

Total Pageviews

Followers