MOTIVASI DAKWAH

"TAKUTLAH KAMU DENGAN FIRASAT ORANG MUKMIN KERANA SESUNGGUHNYA DIA MELIHAT DENGAN NUR ALLAH"


Jika Islam liberal didefinisikan sebagai satu fahaman Islam yang tidak terlalu mengongkong, kini wujud pula satu istilah baru iaitu ibu bapa liberal. Menurut Kamus Dewan, liberal bermaksud berpandangan bebas (terbuka), tidak terkongkong pada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya. Adakah ibu bapa zaman sekarang boleh disebut sebagai liberal? Perkara ini boleh dibincangkan menerusi parenting style, iaitu apakah kaedah yang digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka?
Umumnya, ada tiga bentu'k teori didikan anak yang umum dan biasa diamalkan oleh ibu bapa iaitu :
  • Authoritarian Style : Ibu bapa yang mempunyai pandangan yang sangat tegas (strict) tentang sesuatu disiplin dan tingkah laku anak serta tidak membuka ruang untuk perbincangan, anak mesti mengikut apa sahaja kata-kata atau arahan ibu bapa tanpa banyak soal.
  • Permissive Style : Ibu bapa yang mempunyai pandangan yang 'relax' terhadap disiplin dan tingkah laku anak, mereka tidak kisah perlakuan anak. Mereka tidak menghukum jika anak melakukan kesalahan, malah memberi sepenuh kebebasan kepada anak-anak. Jika anak-anak melakukan sesuatu kesalahan, mereka biasanya tiada sebarang dendaan yang dikenakan.
  • Democratic Style : Ia juga disebut sebagai Authoritative Style, iaitu ibu bapa yang mempunyai pandangan tentang disiplin dan tingkah laku anak-anak serta mereka bersedia untuk berbincang dan menerangkan kepada anak sebab-sebab sesuatu perkara yang dilarang. Alasan yang diberikan selalunya perihal baik buruk sesuatu perkara.
Ibu bapa liberal tergolong dalam golongan kedua. Ibu bapa dahulu lebih bersifat authoritarian, anak-anak mendengar kata dan tidak berani melawan. Sekiranya ibu bapa berkata putih, maka putihlah jawapannya, sekiranya hitam, maka hitamlah jawapannya. Anak-anak akan terus menurut perintah ibu bapa tanpa mempertikaikannya. Anak-anak sekarang pula, mereka akan cuba memberi pendapat jika tidak bersetuju dengan pandangan ibu bapa. Mereka boleh berbuat demikian mungkin disebabkan ibu bapa kini lebih demokratik berbanding ibu bapa zaman dahulu.

Ibu bapa yang liberal pula tidak kisah dan mengikut rentak semasa. Dalam mendidik, mereka tidak menyediakan panduan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, mana halal dan haramnya. Sebagai contoh, anak-anak keluar ke mana, balik pukul berapa, dengan siapa mereka keluar, ibu bapa tidak ambil tahu langsung mengenainya. Anak-anak bebas melakukan apa sahaja yang diingini. Mereka tidak nampak masalah yang akan timbul di kemudian hari, menyebabkan masalah sosial di kalangan anak-anak dan remaja tidak pernah selesai dari dulu sehingga sekarang, baik di bandar dan luar bandar.

Sesetengah ibu bapa apabila diberitahu keadaan anak mereka, mereka buat tidak tahu atau ambil ringan sahaja. Inilah ibu bapa yang bersikap liberal. Sebagai contoh, mereka tahu anak mereka keluar malam dengan girlfriend atau boyfriend, melepak sana sini, tetapi semua itu tidak mengapa bagi mereka. Sebaliknya, yang mereka bimbangkan pula apabila anak tidak mendapat A dalam mata pelajaran yang dipelajari. Malah hal ini amat dititikberatkan berbanding penekanan dari sudut agama.

Tidak salah sekiranya ibu bapa menitik-beratkan hal akademik. Semua ibu bapa inginkan anak mereka berjaya dalam pelajaran, tetapi ibu bapa seharusnya juga menyeimbangkan anak-anak dengan ilmu agama. Kalau inginkan anak mendapat A dalam akademik, ibu bapa seharusnya juga menekankan anak-anak mereka agar mendapat A dalam kefahaman agama dan praktikal akhlak. Malangnya, ibu bapa sekarang tidak nampak perkara ini.

Timbulnya ibu bapa liberal ini kerana suasana masyarakat hari ini yang bersifat material, tidak nampak betapa pentingnya agama. Ibu bapa sebegini ada kaitan dengan corak pendidikan mereka. Jika ibu bapa mereka dahulu tidak menekankan aspek ruhiyyah, anak-anak yang akan menjadi ibu bapa kini akan mempraktikkan cara yang sama terhadap anak-anak mereka pula. Sebab itu, kita lihat ada sesetengah ibu bapa kini terlalu gembira apabila anak dapat memasuki akademi hiburan. Mereka bangga anak dapat menceburi bidang anak berjaya dan ada yang menangis apabila anak tidak tersenarai dalam calon akhir rancangan hiburan.

Ada ibu bapa yang sangat menekankan dan ghairah anak mereka berjaya dalam akademik, sanggup menghantar anak-anak ke pusat tuisyen tanpa mengambil kira waktu kualiti dan masa solat. Sebelum maghrib, anak sudah pergi ke pusat tuisyen, tinggalkan solat maghrib begitu sahaja. Apabila anak sudah terbiasa dengan keadaan itu, bagaimana dengan perkembangan ruhiyahnya?

Masalah ini lebih parah lagi apabila ibu bapa mula takut untuk menegur perbuatan salah anak-anak mereka kerana bimbang anak akan memberontak dan lari dari rumah. Dan lebih malang lagi, ada anak-anak remaja yang terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah dan dalam pengetahuan ibu bapa. Nampak seolah-olah ibu bapa pula yang takut dengan anak-anak. Pada hal di dalam al-Quran, Allah Taala telah pun menerangkan tentang tanggungjawab ibu bapa :

 
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan" - Surah at-Tahrim:6

Ibu bapa liberal juga ialah mereka yang ambil mudah tentang perjalanan hidup anak-anak, tidak berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, sedangkan perlakuan anak mengikut cara didikan ibu bapa. Jika ibu bapa liberal maka anak-anak akan menjadi liberal, jika ibu bapa ambil mudah soal agama, maka anak-anak juga akan lebih ambil mudah soal agama. Jika dikatakan cara didikan ibu bapa dahulu tidak sesuai, kita lihat ia berbalik kepada suasana sekeliling. Suasana zaman dahulu tidak sama dengan sekarang. Jika dahulu anak dididik secara tradisional, pergaulan anak perempuan dan lelaki ada batasnya, hari ini banyak ruang dan peluang, kalau tidak datang ke rumah atau 'dating'-pun, mereka boleh berhubung melalui kecanggihan teknologi elektronik seperti telefon, sms, e-mail dan sebagainya.

Ibu bapa yang liberal tidak kisah anak-anak menghadap komputer 24 jam dengan alasan anak-anak mereka harus mengikuti perkembangan teknologi maklumat, sedangkan mungkin tanpa kawalan yang sebaiknya hal tersebut menatijahkan perkara yang sebaliknya. Bila bercakap mengenai ibu bapa liberal, bagaimana pula dengan isteri dan suami liberal? la juga berkait-rapat. Isteri yang liberal tidak kisah suami keluar dengan siapa, begitu juga sebaliknya. Oleh itu konsep keluarga liberal amat luas, bukan setakat ibu bapa sahaja menjadi liberal, malah anak-anak yang lahir daripada keluarga liberal ini akan seterusnya melahirkan masyarakat liberal.

Pesan orang-orang tua, mendidik anak-anak seperti bermain layang-layang. Ada masa kita perlu melepaskan tali layang-layang itu untuk melihat sejauh mana layang-layang boleh terbang ditiup angin, tetapi ada masanya kita kena menarik kembali layang-layang ke sisi walaupun ia jatuh ke bumi. Maknanya, dalam mendidik anak perlu ada give and take. Ibu bapa liberal asyik memberi (give) sahaja, bila sekali berkata (take) tidak boleh, anak-anak tidak boleh menerimanya. Sebab itulah bentuk pendidikan terbaik ialah cara kedua iaitu democratic style, liberal tidak, mengongkong pun tidak.

Dalam Islam pun ada pendekatan democratic style. Kadang-kala ibu bapa tidak memahami bentuk pendidikan yang paling sesuai dan baik untuk masa depan anak-anak mereka. Kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa 100%, ada yang berpunca kerana suasana rakan sebaya, kehendak semasa, kos hidup, kelonggaran nilai dalam masyarakat dan sebagainya. Apa pun, kita kena kembali kepada apa yang Islam kehendaki. Islam menolak semua bentuk liberal yang boleh merosakkan kemaslahatan masyarakat sehingga ada kaedah feqah yang berbunyi, "Jika sempit sesuatu perkara maka luaskan, dan jika luas sesuatu perkara itu maka sempitkan".


Apabila kita memperhatikan hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W mengenai kepelbagaian fitnah yang bakal terjadi di akhir zaman, maka kita akan merasa sangat khuatir, sebab matannya menggambarkan keadaan yang sangat menakutkan. Apatah lagi jika hadis-hadis tersebut kita kaitkan dengan situasi dan gambaran dunia moden sekarang ini, maka kekhuatiran tersebut semakin menjadi-jadi. Mengapa? Kerana sudah terlalu banyak hadis mengenai fitnah-fitnah di akhir zaman yang memperlihatkankan secara tepat situasi dan kondisi dunia moden saat kita berada ini.

Contohnya bagi maksud hadis ini yang dirakamkan dalam hadis Sahih Bukhari,  

"Sesungguhnya di antara tanda-tanda kiamat adalah diangkatnya ilmu dan merebaknya kebodohan".

Ramai orang barangkali tidak sependapat mengatakan bahawa hadis di atas menggambarkan kondisi dunia moden, malah memandang dunia moden saat ini sebagai dunia yang sarat dengan kemajuan, ilmu pengetahuan dan teknologi, dunia di hujung jari. Padahal yang dimaksud oleh Rasulullah S.A.W ialah diangkatnya ilmu Islam, bukannya ilmu yang menyangkut urusan keduniaan. Dan makna kebodohan ialah perihal awam masyarakat terhadap ilmu agama; dalam permasalahan hukum yang terang dan tidak perlu diperbahaskan lagipun mereka memilih kepada nilai kekufuran.


Nabi Muhammad S.A.W tidak mengatakan bahawa era fitnah di akhir zaman akan tampil dalam bentuk kemunduran ilmu pengetahuan dan teknologi. Oleh kerana itu kita dapati terdapat hadis lain yang akan memperjelas maksud hadis di atas, 

"Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekaligus mencabutnya dari hamba-hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama. Hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan".(rujuk Sahih Bukhari)

Hadis di atas mengarahkan perhatian kita kepada ilmu yang dikuasai oleh para ulama semakin hilang. Pun begitu bukan bermaksud ulama semakin berkurang, tetapi ilmu Islam yang tulen dan hikmah yang ada pada ulama-ulama yang terdahulu tidak lagi menjadi dokongan oleh penerus perjuangan mereka. Apatah lagi zaman ini, title ulama bukan di'beri' kerana dihormati tetapi di'cari' supaya dihormati.
Nabi S.A.W turut mengaitkan akan munculnya orang-orang bodoh yang dijadikan tempat bertanya dan berfatwa. Dan ketika mereka berfatwa, maka mereka berfatwa tanpa ilmu agama. Akibatnya fatwa yang dihasilkan bersifat sesat dan menyesatkan umat.

Dalam realiti yang berlaku di dunia saat ini, kita telah dikejutkan dengan berita sepasang lelaki gay mengaku Muslim yang dinikahkan oleh seorang Imam masjid yang juga seorang gay. Ludovic Mohamed Zahed, seorang pemuda Perancis yang berasal dari Algeria, dan pasangannya Qiyam al-Din dari Afrika Selatan, dilaporkan telah menikah dengan 'syariat Islam' di hadapan seorang imam masjid yang juga seorang gay bernama Jamal (laporan berita 12/2/2012).

Imam gay ini merupakan contoh seorang bodoh yang mengeluarkan fatwa sesat dan menyesatkan. Ia telah merestui jalinan hubungan homoseksual yang jelas dilarang di dalam ajaran Islam. Sedemikian teruk merebaknya kebodohan akan ilmu agama sehinggakan orang yang sepatutnya memiliki ilmu agama secara formal-akademik dengan mudahnya terjebak fahaman liberalisme. Mereka menganggap urusan agama hanya berlaku pada private sector (ruang lingkup pribadi), sedangkan untuk public sector (ruang lingkup publik) dibiar diatur dengan pelbagai kefahaman, ideologi dan ajaran selain Islam.
 
Hadis lain yang juga sangat tepat menggambarkan keadaan dunia moden jahiliyah saat ini ialah sebagai berikut, 

"Akan datang tahun-tahun penuh dengan kedustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercaya, orang yang jujur didustakan, amanat diberikan kepada pengkhianat, orang yang amanah dikhianati, dan ruwaibidhah turut bicara. Lalu Baginda S.A.W ditanya; Apakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab; "Orang-orang bodoh yang mengurusi perkara umum" (rujuk sunan Ibnu Majah)

Dalam dunia jahiliyah moden kita menyaksikan bagaimana orang yang memiliki karakter jujur dan amanah justeru didustakan dan dikhianati. Sebaliknya pendusta dan pengkhianat dibenarkan, disokong dan diberi jabatan serta diangkat menjadi pemimpin masyarakat.
Begitulah dahsyatnya kehidupan di zaman merebaknya kebodohan dan kedustaan. Inilah zaman jahiliyah moden di mana fitnah-fitnah menyelimuti dunia sehingga dunia menjadi laksana potongan malam yang gelap-gelita.

"Segeralah beramal sebelum datangnya fitnah-fitnah seperti malam yang gelap-gelita. Di pagi hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu menjadi kafir di petang harinya. Di petang hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu menjadi kafir di pagi harinya. Dia menjual agamanya demi memperoleh kenikmatan dunia" (rujuk Sahih Muslim).

HAFIZI AL-HAFIZ

HAFIZI AL-HAFIZ
Nama beliau Muhammad Hafizi bin Rajiman. Bekas penuntut di SBPI Gombak dan Darul Quran JAKIM. Beliau merupakan aktivis dakwah kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dakwah.Beliau mula aktif dalam bidang penulisan sejak pertengahan tahun 2011 dalam blog peribadi beliau, hafizimujahid.blogspot.com

Qalam Qalbi

"Tahap cinta seseorang manusia kepada Allah adalah sejauh mana dia mengenal Allah.''

Popular Posts

Total Pageviews

Followers