Jika Islam liberal didefinisikan sebagai
 satu fahaman Islam yang tidak terlalu mengongkong, kini wujud pula satu
 istilah baru iaitu ibu bapa liberal. Menurut Kamus Dewan, liberal 
bermaksud berpandangan bebas (terbuka), tidak terkongkong pada sesuatu 
aliran pemikiran dan sebagainya. Adakah ibu bapa zaman
 
sekarang boleh disebut sebagai liberal? Perkara ini boleh dibincangkan 
menerusi parenting style, iaitu apakah kaedah yang digunakan oleh ibu 
bapa dalam mendidik anak-anak mereka?
Umumnya, ada tiga bentu'k teori didikan 
anak yang umum dan biasa diamalkan oleh ibu bapa iaitu :
- Authoritarian Style : Ibu bapa yang mempunyai pandangan yang sangat tegas (strict) tentang sesuatu disiplin dan tingkah laku anak serta tidak membuka ruang untuk perbincangan, anak mesti mengikut apa sahaja kata-kata atau arahan ibu bapa tanpa banyak soal.
 
- Permissive Style : Ibu bapa yang mempunyai pandangan yang 'relax' terhadap disiplin dan tingkah laku anak, mereka tidak kisah perlakuan anak. Mereka tidak menghukum jika anak melakukan kesalahan, malah memberi sepenuh kebebasan kepada anak-anak. Jika anak-anak melakukan sesuatu kesalahan, mereka biasanya tiada sebarang dendaan yang dikenakan.
 
- Democratic Style : Ia juga disebut sebagai Authoritative Style, iaitu ibu bapa yang mempunyai pandangan tentang disiplin dan tingkah laku anak-anak serta mereka bersedia untuk berbincang dan menerangkan kepada anak sebab-sebab sesuatu perkara yang dilarang. Alasan yang diberikan selalunya perihal baik buruk sesuatu perkara.
 
Ibu bapa liberal tergolong dalam 
golongan kedua. Ibu bapa dahulu lebih bersifat authoritarian, anak-anak 
mendengar kata dan tidak berani melawan. Sekiranya ibu bapa berkata 
putih, maka putihlah jawapannya, sekiranya hitam, maka hitamlah 
jawapannya. Anak-anak akan terus menurut perintah ibu bapa tanpa 
mempertikaikannya. Anak-anak sekarang pula, mereka akan cuba memberi 
pendapat jika tidak bersetuju dengan pandangan ibu bapa. Mereka boleh 
berbuat demikian mungkin disebabkan ibu bapa kini lebih demokratik 
berbanding ibu bapa zaman dahulu.
Ibu bapa yang liberal pula tidak kisah 
dan mengikut rentak semasa. Dalam mendidik, mereka tidak menyediakan 
panduan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, mana halal dan 
haramnya. Sebagai contoh, anak-anak keluar ke mana, balik pukul berapa, 
dengan siapa mereka keluar, ibu bapa tidak ambil tahu langsung 
mengenainya. Anak-anak bebas melakukan apa sahaja yang diingini. Mereka 
tidak nampak masalah yang akan timbul di kemudian hari, menyebabkan 
masalah sosial di kalangan anak-anak dan remaja tidak pernah selesai 
dari dulu sehingga sekarang, baik di bandar dan luar bandar.
Sesetengah ibu bapa apabila diberitahu 
keadaan anak mereka, mereka buat tidak tahu atau ambil ringan sahaja. 
Inilah ibu bapa yang bersikap liberal. Sebagai contoh, mereka tahu anak 
mereka keluar malam dengan girlfriend atau boyfriend, melepak sana sini,
 tetapi semua itu tidak mengapa bagi mereka. Sebaliknya, yang mereka 
bimbangkan pula apabila anak tidak mendapat A dalam mata pelajaran yang 
dipelajari. Malah hal ini amat dititikberatkan berbanding penekanan dari
 sudut agama.
Tidak salah sekiranya ibu bapa 
menitik-beratkan hal akademik. Semua ibu bapa inginkan anak mereka 
berjaya dalam pelajaran, tetapi ibu bapa seharusnya juga menyeimbangkan 
anak-anak dengan ilmu agama. Kalau inginkan anak mendapat A dalam 
akademik, ibu bapa seharusnya juga menekankan anak-anak mereka agar 
mendapat A dalam kefahaman agama dan praktikal akhlak. Malangnya, ibu 
bapa sekarang tidak nampak perkara ini.
Timbulnya ibu bapa liberal ini kerana 
suasana masyarakat hari ini yang bersifat material, tidak nampak betapa 
pentingnya agama. Ibu bapa sebegini ada kaitan dengan corak pendidikan 
mereka. Jika ibu bapa mereka dahulu tidak menekankan aspek ruhiyyah, 
anak-anak yang akan menjadi ibu bapa kini akan mempraktikkan cara yang 
sama terhadap anak-anak mereka pula. Sebab itu, kita lihat ada 
sesetengah ibu bapa kini terlalu gembira apabila anak dapat memasuki 
akademi hiburan. Mereka bangga anak dapat menceburi bidang anak berjaya 
dan ada yang menangis apabila anak tidak tersenarai dalam calon akhir 
rancangan hiburan.
Ada ibu bapa yang sangat menekankan dan 
ghairah anak mereka berjaya dalam akademik, sanggup menghantar anak-anak
 ke pusat tuisyen tanpa mengambil kira waktu kualiti dan masa solat. 
Sebelum maghrib, anak sudah pergi ke pusat tuisyen, tinggalkan solat 
maghrib begitu sahaja. Apabila anak sudah terbiasa dengan keadaan itu, 
bagaimana dengan perkembangan ruhiyahnya?
Masalah ini lebih parah lagi apabila ibu
 bapa mula takut untuk menegur perbuatan salah anak-anak mereka kerana 
bimbang anak akan memberontak dan lari dari rumah. Dan lebih malang 
lagi, ada anak-anak remaja yang terlanjur sehingga mengandung anak luar 
nikah dan dalam pengetahuan ibu bapa. Nampak seolah-olah ibu bapa pula 
yang takut dengan anak-anak. Pada hal di dalam al-Quran, Allah Taala 
telah pun menerangkan tentang tanggungjawab ibu bapa :
 
"Wahai
 orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari 
neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka 
itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar 
(layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang 
diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala 
yang diperintahkan" - Surah at-Tahrim:6
Ibu bapa liberal juga ialah mereka yang 
ambil mudah tentang perjalanan hidup anak-anak, tidak berpegang kepada 
al-Quran dan Sunnah, sedangkan perlakuan anak mengikut cara didikan ibu 
bapa. Jika ibu bapa liberal maka anak-anak akan menjadi liberal, jika 
ibu bapa ambil mudah soal agama, maka anak-anak juga akan lebih ambil 
mudah soal agama. Jika dikatakan cara didikan ibu bapa dahulu tidak 
sesuai, kita lihat ia berbalik kepada suasana sekeliling. Suasana zaman 
dahulu tidak sama dengan sekarang. Jika dahulu anak dididik secara 
tradisional, pergaulan anak perempuan dan lelaki ada batasnya, hari ini 
banyak ruang dan peluang, kalau tidak datang ke rumah atau 'dating'-pun,
 mereka boleh berhubung melalui kecanggihan teknologi elektronik seperti
 telefon, sms, e-mail dan sebagainya.
Ibu bapa yang liberal tidak kisah 
anak-anak menghadap komputer 24 jam dengan alasan anak-anak mereka harus
 mengikuti perkembangan teknologi maklumat, sedangkan mungkin tanpa 
kawalan yang sebaiknya hal tersebut menatijahkan perkara yang 
sebaliknya. Bila bercakap mengenai ibu bapa liberal, bagaimana pula 
dengan isteri dan suami liberal? la juga berkait-rapat. Isteri yang 
liberal tidak kisah suami keluar dengan siapa, begitu juga sebaliknya. 
Oleh itu konsep keluarga liberal amat luas, bukan setakat ibu bapa 
sahaja menjadi liberal, malah anak-anak yang lahir daripada keluarga 
liberal ini akan seterusnya melahirkan masyarakat liberal.
Pesan orang-orang tua, mendidik 
anak-anak seperti bermain layang-layang. Ada masa kita perlu melepaskan 
tali layang-layang itu untuk melihat sejauh mana layang-layang boleh 
terbang ditiup angin, tetapi ada masanya kita kena menarik kembali 
layang-layang ke sisi walaupun ia jatuh ke bumi. Maknanya, dalam 
mendidik anak perlu ada give and take. Ibu bapa liberal asyik memberi 
(give) sahaja, bila sekali berkata (take) tidak boleh, anak-anak tidak 
boleh menerimanya. Sebab itulah bentuk pendidikan terbaik ialah cara 
kedua iaitu democratic style, liberal tidak, mengongkong pun tidak.
Dalam Islam pun ada pendekatan democratic
 style. Kadang-kala ibu bapa tidak memahami bentuk pendidikan yang 
paling sesuai dan baik untuk masa depan anak-anak mereka. Kita tidak 
boleh menyalahkan ibu bapa 100%, ada yang berpunca kerana suasana rakan 
sebaya, kehendak semasa, kos hidup, kelonggaran nilai dalam masyarakat 
dan sebagainya. Apa pun, kita kena kembali kepada apa yang Islam 
kehendaki. Islam menolak semua bentuk liberal yang boleh merosakkan 
kemaslahatan masyarakat sehingga ada kaedah feqah yang berbunyi, "Jika
 sempit sesuatu perkara maka luaskan, dan jika luas sesuatu perkara itu 
maka sempitkan".
0 ulasan:
Post a Comment