MOTIVASI DAKWAH

"TAKUTLAH KAMU DENGAN FIRASAT ORANG MUKMIN KERANA SESUNGGUHNYA DIA MELIHAT DENGAN NUR ALLAH"

Apakah maksud Dakwah dan siapakah Pendakwah yang sebenarnya?

Dakwah bermaksud menyeru manusia kepada Allah swt samada dia seorang Muazzin yang menyeru manusia kepada Solat, seorang pendita yang berdakwah dengan mata pena, seorang Mujahid yang berjuang dengan pedang atau seorang penghujah yang berhujah dengan ketajaman akal dan lidah yang lantang.

Dakwah adalah tanggungjawab setiap mereka yang mengaku sebagai seorang umat Nabi Muhammad saw sebagai tersebut didalam firman Allah swt didalam Surah Ali-Imran Ayat 110:-

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ (110)

“Kamu adalah Ummat yang terbaik yang pernah dikeluarkan kepada seluruh manusia. Kamu mengajak kepada kebaikan dan kamu mencegah dari keburukan. Dan kamu beriman kepada Allah”


Dalam ayat ini, Iman yang merupakan asas kepada agama diletakkan selepas kerja Amar Maaruf Nahi Munkar, bukannya diletakkan dipermulaan ayat tersebut. Para Mufassir menafsirkan bahawa apabila kita membuat kerja Dakwah maka disitulah datangnya keimanan yang tulen kepada Allah swt. 

Syarat untuk berdakwah bukanlah menunggu sehingga orang itu benar-benar beriman atau sudah lengkap ilmu dan amalan agamanya. Ini sejajar dengan usaha para Sahabat r.anhum yang telah menjadikan kerja dakwah sebaik sahaja mereka mengucap Dua Kalimah Syahadah. Saidina Abu Bakar contohnya telah membawa 10 orang untuk memeluk Islam pada hari pertama dia memeluk Islam.

Dakwah adalah satu kerja dan tanggungjawab, bukannya satu kerjaya atau tugas mana-mana individu atau pertubuhan berdaftar atau NGO. Setiap ummat adalah bertanggungjawab keatas seluruh ummat Islam diseluruh dunia dan seluruh ummat Islam seluruh dunia adalah bertanggungjawab keatas setiap ummat.

Dakwah tercetus bermula dengan fikir dan risau Nabi saw. Apakah fikir dan risau Nabi saw? Fikir dan risau Nabi saw keatas ummatnya bukanlah atas maksud dunia, kekayaan, kemajuan dan teknologi tetapi fikir risau Nabi saw keatas ummatnya adalah bagaimana setiap ummatnya sehingga bayi yang terakhir sebelum qiamat dapat selamat dari azab api neraka dan masuk kedalam syurga Allah swt kerana inilah sahaja kejayaan yang hakiki.

Dalam keadaan maksiat yang berleluasa dan keadaanummah jahiliyah, Nabi begitu risau dan runsing akan keadaan manusia ketika itu lalu Baginda saw tidak sanggup melihat keadaan masyarakat dan Baginda terus menerus berkhalwat di Gua Hira di Jabal Noor. Ketika itu Baginda saw dipanggil dengan gelaran Al-Amin yang bermaksud orang yang boleh dipercayai.

Risau Nabi tidak membawa apa-apa perubahan kepada manusia sehinggalah turunnya ayat pertama dari Surah Al-Muddatsir yang bermaksud:-

“Wahai kamu yang berselubung, Bangunlah dan berilah peringatan. Dan Tuhan kamu Agungkan. Dan pakaian kamu bersihkan…(Ayat 1-4)

Maka Nabi saw telah membuat dakwah secara sembunyi diawalnya dan secara terang-terang dikemudiannya. Dengan usaha dakwah Nabi saw itu bermulalah satu perubahan yang membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari kekufuran kepada keimanan kepada Allah swt.

Nabi telah berdakwah dengan 4 cara iaitu secara Infradi (Individu), Ijtimai (Public), Khususi (Golongan Khawas) dan Umumi (Orang Awam). Khutbah atau ceramah hanya satu bahagian dari cabang Dakwah, bukan keseluruhan. Pendakwah yang sempurna adalah mereka yang membuat kesemua 4 cabang dakwah ini.

Nabi dan Sahabat berdakwah dengan pengorbanan diri dan harta masing-masing. Begitu juga dengan seorang Pendakwah, harus ikhlas dan sanggup berkorban diri, harta dan masa untuk mengajak manusia supaya mentaati perintah Allah. Kesan dari dakwah seorang yang bersusah payah berkorban diri dan harta semata-mata kerana Allah begitu jauh beza dengan pendakwah yang dibayar atau makan gaji.

Dakwah mestilah dibuat secara istiqamah dan berulang-ulang, dengan sabar dan menganggap yang kita tiada daya melainkan Allah swt sahaja yang dapat memberi Hidayah kepada orang yang kita jumpa.

"Demi masa sesungguhnya semua manusia itu didalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan Haq dan berpesan-pesan dengan Sabar" Al-Asyr Ayat 1-5

Para mufassir menafsirkan bahawa 'yang Haq' adalah Kalimah Laailaha illallah dan 'Sabar' bermaksud berdakwah dengan istiqamah sehingga keakhir hayat. Walaupun orang itu sudah kita jumpa berpuluh kali dan dia menentang namun kita tetap tidak berputus asa kerana Hidayah adalah hakmilik Allah swt.

Dakwah haruslah dibuat secara jemaah, bukan secara individu atau seorang diri. Nabi saw dan para Sahabat r.anhum adalah dalam satu jemaah ketika dimasjid atau dimedan jihad. Ada juga jemaah kecil yang dihantar oleh Nabi saw kesatu daerah untuk berdakwah atau mengajar ilmu agama dan Al-Quran kepada mereka.

Mereka yang berdakwah secara berjemaah tidak bebas untuk berbuat apa sahaja. Jemaah akan dipimpin oleh seorang Amir dan segala keputusan adalah dengan mesyuarat cara Nabi saw. Dengan ini kita akan terpelihara dari kejahatan nafsu dan tipudaya oleh syaitan yang begitu licik dan memang anti dengan mereka yang mengajak manusia kepada Allah swt.

Jika kita berdakwah seorang diri, maka kita mudah terpesong atau tewas jika diuji oleh Allah swt. Ujian yang paling besar bagi seorang pendakwah bukanlah dimaki, diherdik, dicaci atau dikeji tetapi ujian yang hebat adalah seorang pendakwah itu disanjung, dipuji, diberi kekayaan dunia dan diberi pangkat dalam masyarakat. Itu belum termasuk ujian dengan wanita cantik, peluang perniagaan ataupun tender kontrak dan sebagainya sehingga dia lupa akan tanggungjawab yang sebenarnya.

Pendakwah harus selalu ceritakan perkara yang Haq untuk menegakkan yang Haq. Barulah kebatilan akan tenggelam dan Haq akan muncul. Cerita pasal keruntuhan sosial tidaklah perlu dikupas secara terperinci kerana kita sedia maklum melalui media massa.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk" (An-Nahl: 125)


Nabi saw berdakwah dengan menceritakan kehebatan dan keagungan Allah serta memberitahu khabar gembira akan janji-janji Allah di Syurga nanti. Banyak hadits-hadits Nabi tentang Fadhilat atau kelebihan amal supaya Sahabat yang ketika itu diuji dengan begitu hebat, disiksa, dibunuh dan dipulau oleh golongan Kafir Quraisy merasa sabar dan semakin meningkat keimanan mereka dari hari ke hari.

Pendakwah juga harus menjaga akhlaq dan adab bermasyarakat supaya bukan sekadar pandai berpidato tetapi Solat Jemaah harus dijaga, budi bicara kena lemah lembut dan sedap didengar. Setiap malam diwajibkan keatas setiap Nabi dan Rasul untuk bangun Solat Tahajud. 

AKU BUKAN PENDAKWAH

Aku belum lagi layak dipanggil DAIE ataupun PENDAKWAH. Aku baru belajar mengajak atau mengingatkan orang yang aku jumpa tentang kehebatan Allah dan tentang kehidupan Akhirat yang kekal selama-lamanya. Semoga dengan mengingatkan orang lain, maka aku juga dapat mengingatkan diri ini yang selalu lalai dan lupa. 

Pendakwah yang sebenarnya adalah Para Sahabat r.anhum yang telah meninggalkan segala yang mereka cintai demi menyebarkan Kalimah Allah diatas muka bumi ini. Asbab pengorbanan merekalah kita hari ini dapat mengecap nikmat Iman dan Islam.

Aku juga tidak BEBAS. Aku terikat dengan hukum dan perintah Allah. Setiap perbuatan dan gerak-geriku sedang diperhatikan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Aku begitu takut jika ada niatku yang tidak betul dan aku begitu takut dengan balasan Allah keatas dosa-dosa dan kesilapanku samada disedari ataupun tidak. Semoga Allah swt memeliharaku dan memberiku Hidayah dan petunjuk kerana akulah yang benar-benar memerlukan Hidayah dariNya. 

Secara ringkasnya tugas pendakwah bukanlah satu kerja yang mudah tetapi begitu mencabar kerana perlu berkorban harta dan diri dan masa disamping ikhlas dan hanya mengharapkan keredhaan dari Allah swt semata-mata. Namun begitu ganjaran yang disediakan oleh Allah swt adalah begitu besar. 

Syurga yang paling tinggi adalah Firdaus dimana segala anak sungai bermula dari situ. Firdaus adalah untuk para Anbia dan Mursalin, para Sahabat, Salafussolehin serta Ummat Nabi Muhammad saw yang membuat kerja menyambung Risalah Nabi sehingga kehari Qiamat.


"Wahai Allah, Engkau bantulah mereka yang membantu Agama Muhammad SAW dan masukkan kami dalam golongan tersebut. Aamin Ya Rabbal Alamin"

HAFIZI AL-HAFIZ

HAFIZI AL-HAFIZ
Nama beliau Muhammad Hafizi bin Rajiman. Bekas penuntut di SBPI Gombak dan Darul Quran JAKIM. Beliau merupakan aktivis dakwah kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dakwah.Beliau mula aktif dalam bidang penulisan sejak pertengahan tahun 2011 dalam blog peribadi beliau, hafizimujahid.blogspot.com

Qalam Qalbi

"Tahap cinta seseorang manusia kepada Allah adalah sejauh mana dia mengenal Allah.''

Popular Posts

Total Pageviews

Followers