MOTIVASI DAKWAH

"TAKUTLAH KAMU DENGAN FIRASAT ORANG MUKMIN KERANA SESUNGGUHNYA DIA MELIHAT DENGAN NUR ALLAH"



Syair malam memekik syahdu. Kelibat sang cengkerik mula menampakkan diri di celahan dedaunan hijau muda dan tua.  Ralit berzikir memuja Ilahi. Suaranya hanya alam mengerti.
Kawasan petak bersegi itu hampir lunyai dibantai kami berpasukan, rerumputnya seakan sudah segan untuk tumbuh kerana kekerapan dihinjak kaki berterusan. Jamung moden berkelip-kelip menyimbah cahaya kekuningan hasil sumber tenaga rumah Pak Malik. Keliling gelanggang dipagari buluh agar ma’ruf manusia itu adalah tempat berpencak silat.

Tanah hutan belukar itu dahulunya hanya menjadi tempat babi tunggal bermain-main, menjadi tempat nyamuk menyedut darah mangsa, bahkan menjadi laluan manusia ke sungai di seberang sana. Sebelum tanah itu dibeli oleh Pak Su untuk dijadikan kawasan penanaman sayur-sayuran, kami telah ratakan menjadi medan untuk bertempur di sebelah malamnya.
“Hah, berjantan (kekuda) molek!!” Jerit Tok Che Wachik memecah hening malam.
“Yaa, heeakk..” Kami menyambung suara bersama pukulan padu buah yang tujuh.
Saya dipasangkan berpasangan dengan abang sulung sendiri berdasarkan kesesuaian watak. Dahulu, saya dan abang sulung tidak pernah diam tanpa pertelingkahan. Kami sering menjadi pergaduhan sebagai kemuncak episod pertelingkahan. Emak pening memikirkan anak lelakinya yang dua ini sehingga pernah berbicara agar kami lekas dewasa.

Hikmah selepas menjadi pasangan dalam berguru silat membuatkan tabiat bertumbuk tidak rasmi ditukar kepada rasmi. Semenjak umur saya mencecah usia 15 tahun, saya dan abang sulung jarang sekali bergaduh.
“Kita sesama ahli silat tidak boleh bergaduh..” Pesanan itulah yang kami sematkan dalam nubari sehingga kini.

Hari Penamat Gelanggang

Gendang dipalu menggegar jantung. Gancang memeluk atma. Serunai mainan lagu rakyat tidak henti-henti ditiup beralun-alun. Penonton juga semakin ramai melingkungi gelanggang bagi melihat aksi penamat gelanggang.
Upacara mandi beramai-ramai dijalankan secara serentak. Sebaldi air disimbah ke atas setiap pesilat. Basah kuyup jadinya.
Saya tidak dapat menebak apakah tujuan aktiviti mandi ini dijalankan. Adakah untuk mencapai tahap kebal? Wallahhu a’lam.
Usai bertempur bersama golongan vetaran, kami dikehendaki menyediakan seekor ayam kampung setiap seorang.
“Ayam akan disembelih, kemudian kita akan tengok yang mana mati hampir dengan lubang yang dikorek ianya bakal menjadi tok guru silat..” Kata salah seorang penganjur yang terdiri dari golongan ‘lama’.
Dalam usia 15 tahun, saya tidak mengerti apa-apa. Akur sahaja setiap langkah yang diperturunkan.
Ayam itu juga kemudiannya dibuat jamuan makan (kenduri) beramai-ramai. Ayah saya ketika itu tidak campur tangan apa yang saya dan abang lakukan. Saya kepelikan.
Menginjak kaki ke alam universiti saya mula terfikir apakah benar dan sohih setiap perkara yang telah kami turuti itu.
“Tak cuba tanya sebab apa mereka sembelih ayam dekat lubang?” Tanya saya kepada abang sulung lewat talian internet.
“Hari tu ada tanya Tok Che Wachik, katanya ayam tu nak berjamulah sikit kat tuan tanah itu (merujuk kepada sesuatu di alam lain)..” Jawab abang ringkas. Seakan sesal dihujung perbualan.
“Nah, dah agak dah!” Bisik sendiri.

Silat Dan Unsur Khurafat

Sedar atau tidak, banyak perlakuan dan pengamalan kita seharian seringkali terjebak dengan perkara khurafat yang mengundang syirik kepada Allah SWT. Perkara ini sukar dibendung memandangkan golongan lama menganggap ianya sebagai satu adat yang perlu dipertahankan.
Lebih mengundang bahaya apabila ianya semakin membarah lalu dipraktikkan pula oleh golongan yang jahil dan tidak tahu hakikat kebenarannya. Kebanyakkan unsur khurafat ini hasil tempias budaya dan agama hindu yang menapak sebelum kedatangan Islam.
Ternyata bila diselidiki, masih ramai pengamal ilmu silat memasukkan unsur-unsur ilmu kebal, pemujaan, pertapaan dan unsur khurafat di setiap akhir pembelajaran silat.

Syirik Sebesar-besar Dosa

Tidak kira apa jua perbuatan samaada bersilat atau perubatan seandainya wujud unsur-unsur kepercayaan khurafat pada sesuatu selain Allah SWT maka jelas ianya boleh mengundang tergelincirnya iktikad pada Allah Yang Satu. Firman Allah SWT mengingatkan kita:
“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’: 48)
Berbicara soal syirik, ia sebenarnya mempunyai beberapa cabang yang utama antaranya ialah:-
1. Syirik khafi (tersembunyi)
Syirik khafi (tersembunyi) ini adalah bermaksud sesuatu perbuatan yang boleh menghilangkan pahala seseorang. Misalnya si fulan telah melakukan ibadah atau amal kebajikan, namun ianya disertai dengan riak dan takbur. Maka secara halusnya ia mengikis pahala yang dicari.
1. Syirik jali (terang dan nyata).
Syirik jali (terang dan nyata) adalah amat berbahaya jika menjadi amalan umat Islam kerana ianya boleh menghumban manusia ke lembah kekufuran yang nyata. Nauzubillahhiminzalik. Di antara keadaan yang boleh berlaku apabila syirik ini membarah ialah:
  1. Apabila hati dan jiwanya telah beriktikad menafikan kewujudan Allah SWT maka ianya telah mengundang syirik jali dan menyebabkan dirinya terkeluar dari agama Islam. Jika terlihat fahaman-fahaman yang berpendapat sedemikian rupanya maka jelaslah golongan ini telah terkeluar dari agama Islam.
  2. Syirik Jali akan terjadi melalui perbuatan dan amalan seseorang di dalam kehidupan. Misalnya apabila individu itu telah melakukan aktiviti penyembahan kubur, berhala, patung-patung, memuja nombor ekor, memohon pertolongan jin dan syaitan dan lain-lain perkara yang melibatkan kepercayaan selain Allah SWT. Terdapat sesetengah pendapat ulama’ mengatakan bahawa terlalu memuja-muja pemimpin dan mengagungkannya juga termasuk dalam kategori ini.
  3. Dengan jelas menuturkan kata-kata menghalalkan apa yang diharam dan mengaku keluar daripada agama Islam. Maka ianya boleh mengundang jatuhnya Syahadah ketauhidan.
Andai tergelincir diri pada perkara kesyirikan, maka adalah wajib kembali bertaubat dan mengucap syahadah semula, katakanlah Allah itu SATU. Lailahaillah MuhammadurRasulullah!

2 ulasan:

xsmua silat ade syirik. pandai pilih.
ada juga yg elok. buka gelanggang dgn ummul kitab, 3 qul, ayat kursi, selawat & mnucap. tutup gelanggang pn sme. alhamdulillah.xde pulak syirik2. tgk jurulatih jugak.jgn tgk dr syirik je, ikhtilat pn jge jgk.aurat & sbgainya. wallahua'lam

SYUKRAN ATAS PERKONGSIAN...

Post a Comment

HAFIZI AL-HAFIZ

HAFIZI AL-HAFIZ
Nama beliau Muhammad Hafizi bin Rajiman. Bekas penuntut di SBPI Gombak dan Darul Quran JAKIM. Beliau merupakan aktivis dakwah kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dakwah.Beliau mula aktif dalam bidang penulisan sejak pertengahan tahun 2011 dalam blog peribadi beliau, hafizimujahid.blogspot.com

Qalam Qalbi

"Tahap cinta seseorang manusia kepada Allah adalah sejauh mana dia mengenal Allah.''

Popular Posts

Total Pageviews

Followers