MOTIVASI DAKWAH

"TAKUTLAH KAMU DENGAN FIRASAT ORANG MUKMIN KERANA SESUNGGUHNYA DIA MELIHAT DENGAN NUR ALLAH"

Apabila kita memperhatikan hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W mengenai kepelbagaian fitnah yang bakal terjadi di akhir zaman, maka kita akan merasa sangat khuatir, sebab matannya menggambarkan keadaan yang sangat menakutkan. Apatah lagi jika hadis-hadis tersebut kita kaitkan dengan situasi dan gambaran dunia moden sekarang ini, maka kekhuatiran tersebut semakin menjadi-jadi. Mengapa? Kerana sudah terlalu banyak hadis mengenai fitnah-fitnah di akhir zaman yang memperlihatkankan secara tepat situasi dan kondisi dunia moden saat kita berada ini.

Contohnya bagi maksud hadis ini yang dirakamkan dalam hadis Sahih Bukhari,  

"Sesungguhnya di antara tanda-tanda kiamat adalah diangkatnya ilmu dan merebaknya kebodohan".

Ramai orang barangkali tidak sependapat mengatakan bahawa hadis di atas menggambarkan kondisi dunia moden, malah memandang dunia moden saat ini sebagai dunia yang sarat dengan kemajuan, ilmu pengetahuan dan teknologi, dunia di hujung jari. Padahal yang dimaksud oleh Rasulullah S.A.W ialah diangkatnya ilmu Islam, bukannya ilmu yang menyangkut urusan keduniaan. Dan makna kebodohan ialah perihal awam masyarakat terhadap ilmu agama; dalam permasalahan hukum yang terang dan tidak perlu diperbahaskan lagipun mereka memilih kepada nilai kekufuran.


Nabi Muhammad S.A.W tidak mengatakan bahawa era fitnah di akhir zaman akan tampil dalam bentuk kemunduran ilmu pengetahuan dan teknologi. Oleh kerana itu kita dapati terdapat hadis lain yang akan memperjelas maksud hadis di atas, 

"Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekaligus mencabutnya dari hamba-hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama. Hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan".(rujuk Sahih Bukhari)

Hadis di atas mengarahkan perhatian kita kepada ilmu yang dikuasai oleh para ulama semakin hilang. Pun begitu bukan bermaksud ulama semakin berkurang, tetapi ilmu Islam yang tulen dan hikmah yang ada pada ulama-ulama yang terdahulu tidak lagi menjadi dokongan oleh penerus perjuangan mereka. Apatah lagi zaman ini, title ulama bukan di'beri' kerana dihormati tetapi di'cari' supaya dihormati.
Nabi S.A.W turut mengaitkan akan munculnya orang-orang bodoh yang dijadikan tempat bertanya dan berfatwa. Dan ketika mereka berfatwa, maka mereka berfatwa tanpa ilmu agama. Akibatnya fatwa yang dihasilkan bersifat sesat dan menyesatkan umat.

Dalam realiti yang berlaku di dunia saat ini, kita telah dikejutkan dengan berita sepasang lelaki gay mengaku Muslim yang dinikahkan oleh seorang Imam masjid yang juga seorang gay. Ludovic Mohamed Zahed, seorang pemuda Perancis yang berasal dari Algeria, dan pasangannya Qiyam al-Din dari Afrika Selatan, dilaporkan telah menikah dengan 'syariat Islam' di hadapan seorang imam masjid yang juga seorang gay bernama Jamal (laporan berita 12/2/2012).

Imam gay ini merupakan contoh seorang bodoh yang mengeluarkan fatwa sesat dan menyesatkan. Ia telah merestui jalinan hubungan homoseksual yang jelas dilarang di dalam ajaran Islam. Sedemikian teruk merebaknya kebodohan akan ilmu agama sehinggakan orang yang sepatutnya memiliki ilmu agama secara formal-akademik dengan mudahnya terjebak fahaman liberalisme. Mereka menganggap urusan agama hanya berlaku pada private sector (ruang lingkup pribadi), sedangkan untuk public sector (ruang lingkup publik) dibiar diatur dengan pelbagai kefahaman, ideologi dan ajaran selain Islam.
 
Hadis lain yang juga sangat tepat menggambarkan keadaan dunia moden jahiliyah saat ini ialah sebagai berikut, 

"Akan datang tahun-tahun penuh dengan kedustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercaya, orang yang jujur didustakan, amanat diberikan kepada pengkhianat, orang yang amanah dikhianati, dan ruwaibidhah turut bicara. Lalu Baginda S.A.W ditanya; Apakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab; "Orang-orang bodoh yang mengurusi perkara umum" (rujuk sunan Ibnu Majah)

Dalam dunia jahiliyah moden kita menyaksikan bagaimana orang yang memiliki karakter jujur dan amanah justeru didustakan dan dikhianati. Sebaliknya pendusta dan pengkhianat dibenarkan, disokong dan diberi jabatan serta diangkat menjadi pemimpin masyarakat.
Begitulah dahsyatnya kehidupan di zaman merebaknya kebodohan dan kedustaan. Inilah zaman jahiliyah moden di mana fitnah-fitnah menyelimuti dunia sehingga dunia menjadi laksana potongan malam yang gelap-gelita.

"Segeralah beramal sebelum datangnya fitnah-fitnah seperti malam yang gelap-gelita. Di pagi hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu menjadi kafir di petang harinya. Di petang hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu menjadi kafir di pagi harinya. Dia menjual agamanya demi memperoleh kenikmatan dunia" (rujuk Sahih Muslim).

0 ulasan:

Post a Comment

HAFIZI AL-HAFIZ

HAFIZI AL-HAFIZ
Nama beliau Muhammad Hafizi bin Rajiman. Bekas penuntut di SBPI Gombak dan Darul Quran JAKIM. Beliau merupakan aktivis dakwah kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dakwah.Beliau mula aktif dalam bidang penulisan sejak pertengahan tahun 2011 dalam blog peribadi beliau, hafizimujahid.blogspot.com

Qalam Qalbi

"Tahap cinta seseorang manusia kepada Allah adalah sejauh mana dia mengenal Allah.''

Popular Posts

Total Pageviews

Followers