MOTIVASI DAKWAH

"TAKUTLAH KAMU DENGAN FIRASAT ORANG MUKMIN KERANA SESUNGGUHNYA DIA MELIHAT DENGAN NUR ALLAH"


Jika Islam liberal didefinisikan sebagai satu fahaman Islam yang tidak terlalu mengongkong, kini wujud pula satu istilah baru iaitu ibu bapa liberal. Menurut Kamus Dewan, liberal bermaksud berpandangan bebas (terbuka), tidak terkongkong pada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya. Adakah ibu bapa zaman sekarang boleh disebut sebagai liberal? Perkara ini boleh dibincangkan menerusi parenting style, iaitu apakah kaedah yang digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka?
Umumnya, ada tiga bentu'k teori didikan anak yang umum dan biasa diamalkan oleh ibu bapa iaitu :
  • Authoritarian Style : Ibu bapa yang mempunyai pandangan yang sangat tegas (strict) tentang sesuatu disiplin dan tingkah laku anak serta tidak membuka ruang untuk perbincangan, anak mesti mengikut apa sahaja kata-kata atau arahan ibu bapa tanpa banyak soal.
  • Permissive Style : Ibu bapa yang mempunyai pandangan yang 'relax' terhadap disiplin dan tingkah laku anak, mereka tidak kisah perlakuan anak. Mereka tidak menghukum jika anak melakukan kesalahan, malah memberi sepenuh kebebasan kepada anak-anak. Jika anak-anak melakukan sesuatu kesalahan, mereka biasanya tiada sebarang dendaan yang dikenakan.
  • Democratic Style : Ia juga disebut sebagai Authoritative Style, iaitu ibu bapa yang mempunyai pandangan tentang disiplin dan tingkah laku anak-anak serta mereka bersedia untuk berbincang dan menerangkan kepada anak sebab-sebab sesuatu perkara yang dilarang. Alasan yang diberikan selalunya perihal baik buruk sesuatu perkara.
Ibu bapa liberal tergolong dalam golongan kedua. Ibu bapa dahulu lebih bersifat authoritarian, anak-anak mendengar kata dan tidak berani melawan. Sekiranya ibu bapa berkata putih, maka putihlah jawapannya, sekiranya hitam, maka hitamlah jawapannya. Anak-anak akan terus menurut perintah ibu bapa tanpa mempertikaikannya. Anak-anak sekarang pula, mereka akan cuba memberi pendapat jika tidak bersetuju dengan pandangan ibu bapa. Mereka boleh berbuat demikian mungkin disebabkan ibu bapa kini lebih demokratik berbanding ibu bapa zaman dahulu.

Ibu bapa yang liberal pula tidak kisah dan mengikut rentak semasa. Dalam mendidik, mereka tidak menyediakan panduan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, mana halal dan haramnya. Sebagai contoh, anak-anak keluar ke mana, balik pukul berapa, dengan siapa mereka keluar, ibu bapa tidak ambil tahu langsung mengenainya. Anak-anak bebas melakukan apa sahaja yang diingini. Mereka tidak nampak masalah yang akan timbul di kemudian hari, menyebabkan masalah sosial di kalangan anak-anak dan remaja tidak pernah selesai dari dulu sehingga sekarang, baik di bandar dan luar bandar.

Sesetengah ibu bapa apabila diberitahu keadaan anak mereka, mereka buat tidak tahu atau ambil ringan sahaja. Inilah ibu bapa yang bersikap liberal. Sebagai contoh, mereka tahu anak mereka keluar malam dengan girlfriend atau boyfriend, melepak sana sini, tetapi semua itu tidak mengapa bagi mereka. Sebaliknya, yang mereka bimbangkan pula apabila anak tidak mendapat A dalam mata pelajaran yang dipelajari. Malah hal ini amat dititikberatkan berbanding penekanan dari sudut agama.

Tidak salah sekiranya ibu bapa menitik-beratkan hal akademik. Semua ibu bapa inginkan anak mereka berjaya dalam pelajaran, tetapi ibu bapa seharusnya juga menyeimbangkan anak-anak dengan ilmu agama. Kalau inginkan anak mendapat A dalam akademik, ibu bapa seharusnya juga menekankan anak-anak mereka agar mendapat A dalam kefahaman agama dan praktikal akhlak. Malangnya, ibu bapa sekarang tidak nampak perkara ini.

Timbulnya ibu bapa liberal ini kerana suasana masyarakat hari ini yang bersifat material, tidak nampak betapa pentingnya agama. Ibu bapa sebegini ada kaitan dengan corak pendidikan mereka. Jika ibu bapa mereka dahulu tidak menekankan aspek ruhiyyah, anak-anak yang akan menjadi ibu bapa kini akan mempraktikkan cara yang sama terhadap anak-anak mereka pula. Sebab itu, kita lihat ada sesetengah ibu bapa kini terlalu gembira apabila anak dapat memasuki akademi hiburan. Mereka bangga anak dapat menceburi bidang anak berjaya dan ada yang menangis apabila anak tidak tersenarai dalam calon akhir rancangan hiburan.

Ada ibu bapa yang sangat menekankan dan ghairah anak mereka berjaya dalam akademik, sanggup menghantar anak-anak ke pusat tuisyen tanpa mengambil kira waktu kualiti dan masa solat. Sebelum maghrib, anak sudah pergi ke pusat tuisyen, tinggalkan solat maghrib begitu sahaja. Apabila anak sudah terbiasa dengan keadaan itu, bagaimana dengan perkembangan ruhiyahnya?

Masalah ini lebih parah lagi apabila ibu bapa mula takut untuk menegur perbuatan salah anak-anak mereka kerana bimbang anak akan memberontak dan lari dari rumah. Dan lebih malang lagi, ada anak-anak remaja yang terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah dan dalam pengetahuan ibu bapa. Nampak seolah-olah ibu bapa pula yang takut dengan anak-anak. Pada hal di dalam al-Quran, Allah Taala telah pun menerangkan tentang tanggungjawab ibu bapa :

 
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan" - Surah at-Tahrim:6

Ibu bapa liberal juga ialah mereka yang ambil mudah tentang perjalanan hidup anak-anak, tidak berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, sedangkan perlakuan anak mengikut cara didikan ibu bapa. Jika ibu bapa liberal maka anak-anak akan menjadi liberal, jika ibu bapa ambil mudah soal agama, maka anak-anak juga akan lebih ambil mudah soal agama. Jika dikatakan cara didikan ibu bapa dahulu tidak sesuai, kita lihat ia berbalik kepada suasana sekeliling. Suasana zaman dahulu tidak sama dengan sekarang. Jika dahulu anak dididik secara tradisional, pergaulan anak perempuan dan lelaki ada batasnya, hari ini banyak ruang dan peluang, kalau tidak datang ke rumah atau 'dating'-pun, mereka boleh berhubung melalui kecanggihan teknologi elektronik seperti telefon, sms, e-mail dan sebagainya.

Ibu bapa yang liberal tidak kisah anak-anak menghadap komputer 24 jam dengan alasan anak-anak mereka harus mengikuti perkembangan teknologi maklumat, sedangkan mungkin tanpa kawalan yang sebaiknya hal tersebut menatijahkan perkara yang sebaliknya. Bila bercakap mengenai ibu bapa liberal, bagaimana pula dengan isteri dan suami liberal? la juga berkait-rapat. Isteri yang liberal tidak kisah suami keluar dengan siapa, begitu juga sebaliknya. Oleh itu konsep keluarga liberal amat luas, bukan setakat ibu bapa sahaja menjadi liberal, malah anak-anak yang lahir daripada keluarga liberal ini akan seterusnya melahirkan masyarakat liberal.

Pesan orang-orang tua, mendidik anak-anak seperti bermain layang-layang. Ada masa kita perlu melepaskan tali layang-layang itu untuk melihat sejauh mana layang-layang boleh terbang ditiup angin, tetapi ada masanya kita kena menarik kembali layang-layang ke sisi walaupun ia jatuh ke bumi. Maknanya, dalam mendidik anak perlu ada give and take. Ibu bapa liberal asyik memberi (give) sahaja, bila sekali berkata (take) tidak boleh, anak-anak tidak boleh menerimanya. Sebab itulah bentuk pendidikan terbaik ialah cara kedua iaitu democratic style, liberal tidak, mengongkong pun tidak.

Dalam Islam pun ada pendekatan democratic style. Kadang-kala ibu bapa tidak memahami bentuk pendidikan yang paling sesuai dan baik untuk masa depan anak-anak mereka. Kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa 100%, ada yang berpunca kerana suasana rakan sebaya, kehendak semasa, kos hidup, kelonggaran nilai dalam masyarakat dan sebagainya. Apa pun, kita kena kembali kepada apa yang Islam kehendaki. Islam menolak semua bentuk liberal yang boleh merosakkan kemaslahatan masyarakat sehingga ada kaedah feqah yang berbunyi, "Jika sempit sesuatu perkara maka luaskan, dan jika luas sesuatu perkara itu maka sempitkan".


Apabila kita memperhatikan hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W mengenai kepelbagaian fitnah yang bakal terjadi di akhir zaman, maka kita akan merasa sangat khuatir, sebab matannya menggambarkan keadaan yang sangat menakutkan. Apatah lagi jika hadis-hadis tersebut kita kaitkan dengan situasi dan gambaran dunia moden sekarang ini, maka kekhuatiran tersebut semakin menjadi-jadi. Mengapa? Kerana sudah terlalu banyak hadis mengenai fitnah-fitnah di akhir zaman yang memperlihatkankan secara tepat situasi dan kondisi dunia moden saat kita berada ini.

Contohnya bagi maksud hadis ini yang dirakamkan dalam hadis Sahih Bukhari,  

"Sesungguhnya di antara tanda-tanda kiamat adalah diangkatnya ilmu dan merebaknya kebodohan".

Ramai orang barangkali tidak sependapat mengatakan bahawa hadis di atas menggambarkan kondisi dunia moden, malah memandang dunia moden saat ini sebagai dunia yang sarat dengan kemajuan, ilmu pengetahuan dan teknologi, dunia di hujung jari. Padahal yang dimaksud oleh Rasulullah S.A.W ialah diangkatnya ilmu Islam, bukannya ilmu yang menyangkut urusan keduniaan. Dan makna kebodohan ialah perihal awam masyarakat terhadap ilmu agama; dalam permasalahan hukum yang terang dan tidak perlu diperbahaskan lagipun mereka memilih kepada nilai kekufuran.


Nabi Muhammad S.A.W tidak mengatakan bahawa era fitnah di akhir zaman akan tampil dalam bentuk kemunduran ilmu pengetahuan dan teknologi. Oleh kerana itu kita dapati terdapat hadis lain yang akan memperjelas maksud hadis di atas, 

"Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekaligus mencabutnya dari hamba-hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama. Hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan".(rujuk Sahih Bukhari)

Hadis di atas mengarahkan perhatian kita kepada ilmu yang dikuasai oleh para ulama semakin hilang. Pun begitu bukan bermaksud ulama semakin berkurang, tetapi ilmu Islam yang tulen dan hikmah yang ada pada ulama-ulama yang terdahulu tidak lagi menjadi dokongan oleh penerus perjuangan mereka. Apatah lagi zaman ini, title ulama bukan di'beri' kerana dihormati tetapi di'cari' supaya dihormati.
Nabi S.A.W turut mengaitkan akan munculnya orang-orang bodoh yang dijadikan tempat bertanya dan berfatwa. Dan ketika mereka berfatwa, maka mereka berfatwa tanpa ilmu agama. Akibatnya fatwa yang dihasilkan bersifat sesat dan menyesatkan umat.

Dalam realiti yang berlaku di dunia saat ini, kita telah dikejutkan dengan berita sepasang lelaki gay mengaku Muslim yang dinikahkan oleh seorang Imam masjid yang juga seorang gay. Ludovic Mohamed Zahed, seorang pemuda Perancis yang berasal dari Algeria, dan pasangannya Qiyam al-Din dari Afrika Selatan, dilaporkan telah menikah dengan 'syariat Islam' di hadapan seorang imam masjid yang juga seorang gay bernama Jamal (laporan berita 12/2/2012).

Imam gay ini merupakan contoh seorang bodoh yang mengeluarkan fatwa sesat dan menyesatkan. Ia telah merestui jalinan hubungan homoseksual yang jelas dilarang di dalam ajaran Islam. Sedemikian teruk merebaknya kebodohan akan ilmu agama sehinggakan orang yang sepatutnya memiliki ilmu agama secara formal-akademik dengan mudahnya terjebak fahaman liberalisme. Mereka menganggap urusan agama hanya berlaku pada private sector (ruang lingkup pribadi), sedangkan untuk public sector (ruang lingkup publik) dibiar diatur dengan pelbagai kefahaman, ideologi dan ajaran selain Islam.
 
Hadis lain yang juga sangat tepat menggambarkan keadaan dunia moden jahiliyah saat ini ialah sebagai berikut, 

"Akan datang tahun-tahun penuh dengan kedustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercaya, orang yang jujur didustakan, amanat diberikan kepada pengkhianat, orang yang amanah dikhianati, dan ruwaibidhah turut bicara. Lalu Baginda S.A.W ditanya; Apakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab; "Orang-orang bodoh yang mengurusi perkara umum" (rujuk sunan Ibnu Majah)

Dalam dunia jahiliyah moden kita menyaksikan bagaimana orang yang memiliki karakter jujur dan amanah justeru didustakan dan dikhianati. Sebaliknya pendusta dan pengkhianat dibenarkan, disokong dan diberi jabatan serta diangkat menjadi pemimpin masyarakat.
Begitulah dahsyatnya kehidupan di zaman merebaknya kebodohan dan kedustaan. Inilah zaman jahiliyah moden di mana fitnah-fitnah menyelimuti dunia sehingga dunia menjadi laksana potongan malam yang gelap-gelita.

"Segeralah beramal sebelum datangnya fitnah-fitnah seperti malam yang gelap-gelita. Di pagi hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu menjadi kafir di petang harinya. Di petang hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu menjadi kafir di pagi harinya. Dia menjual agamanya demi memperoleh kenikmatan dunia" (rujuk Sahih Muslim).



Apa yang membuatkan kami gembira dan berbunga? Usrah itu sebenarnya "keluarga". Jujur sebelum ini tidak pernah saya ambil peduli. Usrah untuk mereka yang alim-alim, untk mereka yang  soleh dan solehah, sempurna,berkopiah dan  bertudung labuh, bukan untuk saya.
Tidak pernah saya rasakan ukhwah di dalam keluarga usrah, tidak pernah saya rasakan kejujuran bersahabat kerana Allah.Tidak pernah saya sangka dengan izin Allah ianya memberi saya kekuatan untuk merubah serba sedikit diri yang serba dhaif ini. Bagaimana? Dengan keprihatinan, sokongan dan semangat ukhwah mengingatkan antara satu dengan lain mengenai perkara-perkara baik dengan penuh kasih dan hikmah.
Dengan contoh dari naqib, bagaimana akhlak, ilmu dan kehidupan sehariannya disulami nilai-nilai Islam yang saya sangkakan sebelum ini hanya mainan bibir para ilmuwan. "Mana mungkin boleh hidup dengan nilai Islam sepenuhnya, di zaman ini" "Saya sudah bersolat 5 waktu, sudah tutp aurat, sudahlah!" Silapnya saya. Jahilnya saya. Saya baru seorang Muslim.

Belum saya fahami konsep Mu'min. Tidak saya sedar menjadi seorang yang beriman adalah dengan menjadi seorang Muslim dan masuk ke dalam agama Islam ini SEPENUHNYA.
Bukan setengah jalan, sekerat langkah dan separuh hati. Kerana menjadi seorang Muslim itu mestilah dengan sepenuh hati, jiwa dan raga. Segala niat DAN perbuatan perlu dizahirkan. Masih ada yang beranggap 'yang penting' niat? Memang niat itu penting, namun niat perlulah disusuli dengan perbuatan.

Setiap manusia jalan hidupnya sudah tertulis, ada manusia hidayahnya diberi Allah seawal usia. Faktor persekitaraan, pendidikan dan rahsia dari Allah kadangkala tidak boleh kita persoalkan, segalanya ada sebab musabab yang tersendiri.
Tersasarnya saya sewaktu remaja dahulu ada sebabnya. Kembalinya saya sebagai seorang Muslim yang mahu beriman sepenuhnya juga bersebab. Sebab itu mungkin tidak mampu pun untuk saya fahami. Walau saya cuba berfikir mengenai segala hikmah disebalik kejadian dalam hidup saya.
Kata-kata naqib saya yang cukup saya sayangi tersemat di hati. "Tidak cukup menjadi seorang Muslim, kita mestilah menjadi seorang Muslim yang beriman" katanya. "Tidak cukup beriman saja, namun kita mesti beriman dan berilmu". "Tidak cukup kita menjadi Muslim beriman yang berilmu, namun kita mesti beramal dengan ilmu itu". "Dan tidak cukup kita beramal kita mesti ikhlas dalam segala amalan"
MasyaAllah. Sudahkah saya beriman,berilmu, beramal dan ikhlas? Sering saya tanya pada diri. Belum, belum sepenuhnya. Kata naqibah – ikhlas itu rahsia di antara Allah dan hambanya, malaikat pun tidak tahu. Dan ikhlas adalah motivasi terbaik seorang Mu'min.

Orang-orang yang ikhlas jarang atau hampir tiada perasaan sesal, kesal, mengeluh, sakit hati, murung, sedih.. kerana mereka... ya , Ikhlas! Ikhlaslah yang menjadi motivasi para Nabi, Rasul dan orang-orang Soleh untuk terus melakukan kebaikan meskipun dicerca, disakiti dan dihina.
Hanya 'kita', diri kita sendiri dapat rasakan ikhlas dalam hati, satu perasaan sayu dan redha , satu perasaan yang membuatkan kita terhenti dan terfikir tatkala kita melakukan sesuatu. "Semua ini kerana Mu Ya Allah".
Segala yang kita lakukan didalam hidup ini mampu dijadikan ibadah, setiap nafas yang dihirup, waktu tidur juga waktu jaga, waktu makan dan waktu lapar, tatkala mandi meskipun kata-kata di FB misalnya. Semuanya boleh dijadikan ibadah.

Ya, segala kebaikan yang ikhlas kerana Allah semuanya mampu dijadikan ibadah. Tapi sayang, Ibadah dipandang begitu sempit sekali. Hanya solat, puasa, zakat, Cuma di atas sejadah saja!
Setiap titipan dan nasihat naqib dapat saya rasakan keikhlasannya. Kerana tujuan usrah itu sendiri adalah untuk sama-sama tolong-menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam.
Sama-sama mengingatkan dan berpesan-pesan. Untuk meningkatkan ukhwah dan kecintaan Islam. Di dalam Al-Quran selain surah Al-Asr 103:3 yang mengingatkan supaya kita sentiasa saling mengingati dan berpesan kepada kebenaran dengan sabar, Allah berfirman dalam surah Az-Zariyat 51:55, bahawa peringatan itu amat perlu dan berguna bagi orang-orang Mu'min.

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesunghnya peringatan itu bermanafaat bagi orang- orang mukmin"Maka, di dalam keluarga usrah ini, kami mencari semangat untuk menjadi Mu'min yang lebih baik dengan saling mengingatkan. Kali pertama saya hadir, (tak ramai pun yang hadir) saya bertanya pada diri, apa yang bakal saya perolehi? Adakah perlu saya laburkan 'masa' ini, dan bersusah susah ke sini.
Untuk apa? Objektif, motif, rasionalnya apa?. Aduh banyaknya persoalan. Tamaknya kita dengan diri sendiri untuk memperbaiki diri. Banyaknya alasan boleh diberi, sibuk, (semua orang sibuk, kadangkala terasa seolah diri sendiri saja yang paling sibuk) ada hal, anak tiada yang jaga.

Kemudian saya tersedar dari lamunan, Naqib ini, iaitu guru saya ini, sanggup datang kemari, walaupun dia jauh lebih sibuk, tanpa meminta bayaran untuk mengajar dan memperbaiki diri kami, dan saya pula yang mahu berkira dengan masa saya.
Sunguh tidak bersyukur! Berapa banyak peluang yang telah diberi kita sia-siakan, memberi segunung tinggi alasan? Kehidupan dan kesibukan dunia dijadikan alasan.
Tersenyum saya tatkla naqibah mengingatkan, dunia ini tak perlu orang ingatkan! Memang kita sentiasa akan ingat! Kerana dunia ini sudah dihadapan mata bukan? Akhirat itulah yang perlu diingatkan selalu.
Fitrahnya insan ini pelupa jahil dan lalai. Maka peringatan tentang akhirat ini amat wajar.
Risaulah jika hari silih berganti dan tiada langsung peringatan diberi. Makanya usrah ini, antara salah satu medium dimana tatkala kami bersila dalam bulatan gembira ini, akhirat dan hakikat penciptaan jin dan manusia diulang kembali, lagi dan lagi.

Asas aqidah, tauhid, ibadah, sirah ,serta bertadabbur dengan Quran benar-benar menyentuh jiwa.Peringatan untuk tidak berfikir buruk mengenai orang lain, untuk memperbaiki amalan, memahami tujuan penciptaan, berwaspada dengan tipuaan syaitan dan bersama di waktu susah dan senang tidak mampu dijual beli dengan wang ringgit.
Ukhwah yang terbina ini terlalu berharga. Berukhwah kerana Allah sepenuhnya, bukan sebab material atau dunia yang lain.
Memang hakikat kehidupan dunia moden kapatilis ini, kita biasanya meletakkan kepentingan diri dahulu. Kepentingan diri diambil kira melebihi kepentingan orang lain.
Dunia moden amat kompetitif dan individualistik. Makanya saya hairan bagaimana masih ada manusia yang sanggup "memberi" tanpa meminta balasan kerana mencari keredhaan Allah.
Ya, masih ramai insan begitu, cuma saya sahaja yang tidak tahu. Dan semangat memberi itu kini sudah terpercik pada kami. Benarlah peringatan yang senantiasa diberikan, kita pasti akan terpengaruh dengan rakan kita, lihatlah dengan siapa kita berkawan. Maka di dalam keluarga usrah ini, percikan minyak wangi akhirnya terkena pada diri kami semua. Sipi-sipi sudah bau harumannya. Indah bukan?

Namun perubahan tidak terbina dengan sekelip mata. Bukan satu dua sesi sudah berubah semuanya. Ada diantara ahli keluarga ini, pergi meninggalkan kita dan tidak kembali lagi, (bukan meninggal dunia namun tidak berminat lagi) ada yang datang sekali dua, namun yang tinggal komited itulah telah ditakdirkan oleh Allah untuk bersama. Membuang prasangka, memperbaiki diri dan membersihkan hati ini adalah satu proses berterusan.
Usrah cuma batu loncatan. Ilmu selebihnya perlu dicari ditempat lain. Namun di dalam bulatan keluarga usrah yang gembira ini, ianya menyedarkan diri dimana kurangnya kita. Yang perlu membetulkan tajwid pergi mengaji semula,yang sudah lama meninggalkan Quran mula membacanya kembali, yang tudungnya singkat dilabuhkan ke dada, yang berfikir mengenai diri sendiri sudah mula mahu memberi.
Fitrahnya kita semua mahu berbuat baik, dan kita semua mahu menyembah. Jika tidak menyembah Allah maka kerana fitrah menyembah ini, kita terdorong untuk menyembah sesuatu yang lain, iaitu harta, pangkat, rupa, lelaki atau wanita, material mahupun diri sendiri! Kembali kepada fitrah menyembah Allah ini adalah kebahagian sebenar dan hakiki.

Belum, saya masih jauh perjalanan. Belum, saya belum sempurna. Namun saya mahu mencari kesempurnaan itu. Terima kasih Usrah dan keluarga bulatan gembira ku! Terima kasih kerana mengingatkan! Quran kini dibawa kemana saja saya pergi, saya mula membaca dan menghafal ayat Quran kembali.
Saya cuba menyemadikan Quran di dalam jiwa ini. Antara tiga ayat pertama yang saya hafal kembali yang memberi impak pada hidup saya dan ingin saya kongsi:-

"Dan kehidupan di dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. Dan negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya sekiranya mereka mengetahui" (Quran 29:64)

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada ku" (Quran 51:56)

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan solat itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk" (Quran 2:45)

Mari berusrahlah semua! Inilah dia bulatan gembira yang tidak boleh dijual beli, hiburan hati yang sejati! Cari bulatan gembira anda juga agar hati ini berbunga kembali. Usrah wajar dijadikan santapan mingguan untuk rohani. Berbunga dengan minda dan jiwa yang lebih dekat dengan Ilahi!

HAFIZI AL-HAFIZ

HAFIZI AL-HAFIZ
Nama beliau Muhammad Hafizi bin Rajiman. Bekas penuntut di SBPI Gombak dan Darul Quran JAKIM. Beliau merupakan aktivis dakwah kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dakwah.Beliau mula aktif dalam bidang penulisan sejak pertengahan tahun 2011 dalam blog peribadi beliau, hafizimujahid.blogspot.com

Qalam Qalbi

"Tahap cinta seseorang manusia kepada Allah adalah sejauh mana dia mengenal Allah.''

Popular Posts

Total Pageviews

Followers