MOTIVASI DAKWAH

"TAKUTLAH KAMU DENGAN FIRASAT ORANG MUKMIN KERANA SESUNGGUHNYA DIA MELIHAT DENGAN NUR ALLAH"


Masyarakat di Malaysia kini berhadapan dengan suatu masalah yang agak kronik dan kritikal iaitu budaya menyalahkan orang lain. Yang paling teruk lagi apabila ada yang menyalahkan Allah.Hal ini jika dilihat dengan teliti telah menjadi budaya yang kurang sihat dalam masyarakat di Malaysia.
                Terdapat juga segelintir pihak yang suka menunding jari kepada orang lain sekiranya berlaku sesuatu masalah. Jarang untuk kita temui mereka yang sanggup menunding dan menyalahkan diri sendiri.Itulah insan yang punya ego dan kebanggaan.

Allah S.W.T.  telah menyatakan dalam surah Hud ayat 101 :

“ Dan Kami tidak menzalimi diri mereka sebaliknya merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri” ( Surah Hud : ayat 101)

Namun terdapat juga segolongan manusia yang enggan mengakui kesalahan diri sendiri apabila mereka tersalah tingkah dan terlanjur bicara. Mereka terus angkuh  dengan sikap takbur yang kian menyubur. Terus enggan merendah diri untuk melentur takbur.

Budaya menyalahkan dan melabel orang lain ini kian menular dan menjangkiti sebahagian besar umat Islam pada hari ini. Bukan hanya  berlaku pada umat Islam tetapi juga kepada masyarakat bukan Islam. Rentetan senario ini, saya teringat akan sebuah lagu rakyat Melayu yang bertajuk Bangau oh Bangau . Antara liriknya berbunyi:

Bangau oh bangau
Kenapa engkau kurus
Macam mana aku tak kurus
Ikan tak mahu timbul

Ikan oh ikan
Kenapa engkau tak timbul
Macam mana aku nak timbul
Rumput panjang sangat

Rumput oh rumput
Kenapa engkau panjang sangat
Macam mana aku tak panjang
Kerbau tak makan aku

Kerbau oh kerbau
Kenapa tak makan rumput
Macam mana aku tak makan
Perut aku sakit

perut oh perut
kenapa engkau sakit
macam mana aku tak sakit
makan nasi mentah

                Mesej yang disampaikan melaui lagu ini ialah  apabila masalah timbul, setiap pihak mencari alasan untuk menyalahkan orang lain.  Bangau menyalahkan ikan, ikan menyalahkan rumput , rumput menyalahkan kerbau, kerbau menyalahkan perut dan begitulah seterusnya. Hal ini akan mnyebabkan masalah yang ada tidak dapat diselesaikan. Malah masalah itu bertambah parah.

Timbul juga golongan yang suka melabel golongan yang lain tanpa usul periksa. Kadang kala mereka hanya mengambil sesetengah kenyataan golongan itu untuk dihukum dan dilabel dengan tuduhan yang tidak berasas.Sekiranya budaya ini berlaku dalam kalangan pemimpin –pemimpin negara, pasti rakyat menderita.

Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 6:

Wahai orang yang beriman, Jika orang fasik datang kepadamu membawa suatu berita , maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kebodohan dan akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu”

(Surah hujurat : ayat 6)

                                Bercakaplah mengikut  ilmu. Jangan bercakap mengikut nafsu. Umat Islam pada hari ini “ibarat telur dihujung tanduk”. Menanti saat untuk jatuh dan hancur. Hal ini kerana musuh-musuh Islam kian rancak merancang strategi untuk mengalahkan dan menjatuhkan Islam  di bumi mereka sendiri.Memang Islam agama yang mulia dan terpilih. Namun sekiranya kita terus leka dengan dunia dan terus membumikan budaya “bangau oh bangau”  ini dalam diri pasti Islam akan tewas.

Teringat saya akan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali :
                Kebatilan yang terancang akan mengalahkan kebenaran yang tidak terancang”

                Melihat kepada lipatan sejarah, bagaimana bumi Palestin kian dirobek hak rakyat mereka untuk mengecapi nikmat iman dan Islam di bumi mereka sendiri. Yahudi di Eropah telah Berjaya menubuhkan negara Yahudi di bumi Palestin dibantu oleh British dalam perjanjian Balfour dan resolusi Bangsa  Bangsa Bersatu (PBB) pada 14 Mei 1948. Sejak itulah rakyat Palestin tidak pernah merasai kesenangan dalam hidup.

Hal ini juga berlaku di kebanyakkan negara Islam yang lain. Contohnya di Bosnia , ratusan ribu  Islam dibunuh akibat kekejaman pengganas-pengganas Kristian Serb dari tahun 1992-1995. Di  Kosovo pula puluhan ribu umat Islam dibunuh oleh pengganas –pengganas Kristian Serb dan lebih 800 000 yang lain menjadi pelarian dan menghadapi kebuluran di sempadan Kosovo sejak bulan Februari 1999.

Mengapa hal ini berterusan berlaku dalam dunia Islam? Adakah musuh Islam menjadi semakin kuat dan terancang  dari hari ke hari? Atau adakah umat Islam yang kian hanyut dengan sifat yang suka menunding jari kepada orang lain sekiranya berhadapan dengan masalah?
              
  Masalah yang berlaku ini ialah masalah ummat.Umat Islam perlu bersatu untuk menjadi umat yang hebat.Bukan sekadar mengambil tindakan melepas diri apabila berhadapan isu peribadi. Umat Islam perlu berani menyalahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku dalam dunia Islam pada hari ini.

PUNCA-PUNCA KEJATUHAN UMAT ISLAM

                As-Syeikh  Hasan an-Nadwi  didalam bukunya Maza Khasiral Aalamu Binhithaatil Muslimin merumuskan beberapa punca kejatuhan umat Islam pada hari ini ialah:

1.       Kepimpinan berpindah kepada orang yang tidak layak
2.       Politik dipisahkan daripada agama
3.       Pemimpin dan para penguasa Muslim menunjukkan contoh yang buruk
4.       Para ilmuan gagal memperkembangkan ilmu
5.       Timbulnya bidaah dan kesesatan dalam dunia Islam

1.        Kepimpinan berpindah kepada orang yang tidak layak

Semasa pemimpin-pemimpin Islam meminggirkan ajaran Islam dan mementingkan kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu, kekuatan Islam kian goyah.Fenomena ini sudah mula berlaku pada era Bani Umayyah dan Abasiah lagi sehinggalah ke hari ini.

Pemimpin yang dilantik perlu melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan amanah.  Sekiranya mereka lalai dengan jawatan tersebut maka hidup mereka tidak akan aman di akhirat. Tidak akan aman mereka yang tiada amanah.Imam Bukhari melaporkan daripada Abu Hurairah , Rasulullah berkata:

“ Kalian akan tamak dengan kekuasaan , sedangkan ia menjadi penyesalan pada hari kiamat “

                                                                                                                                                                (HR Bukhari)

Direkodkan juga oleh Imam Muslim  dalam kitabnya, Rasulullah bersabda:

“ Pemimpin yang diberi tugas mengurus masalah orang Islam, kemudian dia tidak berusaha mengurus kepentingan  mereka, dan tidak memberi nasihat, dia tidak akan masuk ke syurga bersama-sama mereka”
                                                                                                                                          (HR Muslim)

Hadis-hadis diatas sudah cukup mengambarkan keadaan yang akan menimpa para pemimpin yang tidak melaksanakan amanah dengan adil. Berjawatan bukan soal kuasa tetapi soal amanah.




2.       Politik dipisahkan daripada agama

Pada zaman nabi dan Khulafa ar-Rasyidin politik dan agama disatukan kerana Islam merupakan agama yang syumul dan mencakupi semua aspek kehidupan termasuk politik.Apabila agama tidak menyuluhi politik maka berlakulah pelbagai kepincangan dalam politik seperti penyelewengan, rasuah, kezaliman pada peringkat tertinggi.

Pada ketika itu, ketidakstabilan melanda umat Islam. Mereka yang berkecimpung dalam arena politik perlu menjadi muslim yang berwibawa dan bertaqwa. Baru kesucian agama terpelihara.



3.        Pemimpin dan para penguasa Muslim menunjukkan contoh yang buruk

Mereka tenggelam dalam lautan kemewahan dan kemaksiatan sehingga mengabaikan kewajipan amar makruf nahi mungkar. Perangai dan cara hidup pemimpiun yang tidak bermaruah ini memberi kesan negative bukan sahaja pada umat Islam malah pada masyarakat bukan Islam.

Apabila mereka menikmati kehidupan dunia menuruk kehendk dan hawa nafsu mereka, maka kehinaan akan melanda diri mereka. Sebagaimana Saidina Umar al-Khattab pernah berpesan:

Kita adalah suatu golongan yang dimuliakan kerana Islam. Apabila mencari kemuliaan melaui cara  hidup selain Islam, maka Allah  akan menimpa kehinaan keatas kita”

4.       Para ilmuan gagal memperkembangkan ilmu

Ramai dalam kalangan ilmua Islam bermula daripada abad ke-17 Masihi ghairah membahaskan ilmu falsafah yang telah diasaskan oleh bangsa Yunani.Mereka asyik membahaskan berkenaan roh, wehdatul wujud dan ilmu-ilmu ranting dalam Islam.

Ilmu pengetahuan berkaitan sains dan teknologi tidak difokuskan.Barat ketika itu telah menngalami ledakan ilmu sains dan teknologi dengan begitu pesat.  Akhirnya barat terus menguasai dunia  Islam yang sedang leka dan alpa.

5.       Timbulnya bidaah dan kesesatan dalam dunia Islam

Kesucian akidah dan keluhuran ibadah serta syariat dalam Islam telah dicemari dengan pandangan-pandangan dan amalan bidaah yang menyesatkan.Tokok tambah dalam beragama akhirnya berjaya menyesatkan umat Islam pada hari ini.

Pelbagai ajaran yang seakan-akan Islam telah menular dalam kalangan masyarakat. Contohnya Islam liberal, pluralisma agama , dan syiah telah Berjaya menambat hati masyarakat Islam yang kian menilai agama dengan nafsu bukan dengan hati dan ilmu. Akhirnya umat Islam terus hanyut dalam lautan kemaksiatan.

HAFIZI AL-HAFIZ

HAFIZI AL-HAFIZ
Nama beliau Muhammad Hafizi bin Rajiman. Bekas penuntut di SBPI Gombak dan Darul Quran JAKIM. Beliau merupakan aktivis dakwah kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dakwah.Beliau mula aktif dalam bidang penulisan sejak pertengahan tahun 2011 dalam blog peribadi beliau, hafizimujahid.blogspot.com

Qalam Qalbi

"Tahap cinta seseorang manusia kepada Allah adalah sejauh mana dia mengenal Allah.''

Popular Posts

Total Pageviews

Followers