MOTIVASI DAKWAH

"TAKUTLAH KAMU DENGAN FIRASAT ORANG MUKMIN KERANA SESUNGGUHNYA DIA MELIHAT DENGAN NUR ALLAH"

Ibrahim Adham menasihati seorang pemuda agar melakukan perubahan dalam hidupnya. Beliau menjelaskan betapa perlunya berhijrah dan meneroka sesuatu yang baru untuk merangsang perubahan berterusan.

            Pemuda ini akhirnya bersetuju.
Keesokan harinya dia datang untuk mengucapkan salam perpisahan kepada Ibrahim Adham. Dia akan keluar berkelana mencari ilmu dan pengalaman untuk sesuatu tempoh yang panjang.

            Selepas tiga hari berlalu, pintu rumah Ibrahim Adham diketuk. Amat mengejutkannya kerana pemuda tersebut telah berada di hadapannya. Ibrahim Adham bertanya kenapakah dia pulang lebih awal daripada apa yang dirangcang sebelum ini.

            “ Sepanjang permusafiran itu aku telah melaui padang pasir yang luas dan melihat keajaiban di sebuah lembah.” Pemuda tersebut memulakan ceritanya bersungguh-sungguh.

            “ Di sana Allah memeperlihat kepadaku satu pengajaran yang sangat berguna. Dengannya aku membuat keputusan untuk pulang segera, “ ujar pemuda tersebut dengan penuh yakin.

            “ Apakah pengajaran yang hebat itu?” Tanya Ibrahim Adham menagih jawapan.

            “ Di sebuah lembah dalam perjalanan itu aku menemui seorang lelaki yang malang. “ Pemuda itu menyambung kembali cerita dengan lancar.

            “ Dia diromapak.. Lebih dahsyat lagi kedua-dua tangan serta kakinya dipotong. Dia berada dalam keadaan yang sangat dhaif. “ Dia berhenti seketika tetapi nampaknya semangatnya tidak berhenti.

            “ Apa yang mengejutkan aku ialah lelaki malang ini dibantu oleh seekor burung helang yang sentiasa berulang-alik terbang membawakan kepadanya makanan sehingga dia boleh meneruskan hidup,” ujar lelaki tersebut dengan nada yang takjub, matanya bercahaya.
            “ Apa yang kulihat itu memberikan pengajaran. Walau selemah mana pun seseorang itu, rezekinya tetap dijamin oleh Allah.” Ujar lelaki tersebut membuat konklusi yang memberangsangkan.

            Ibrahim Adham faham kedudukan sebenar dan dengan pandangan simpati dia melihat kepada pemuda itu dan berkata , “ Wahai pemuda, ini cerita yang hebat. “

            Tetapi kenapa dalam penyaksian itu kamu hanya melihat dan membuat kesimpulan tentang lelaki dhaif yang kudung tangan dan kakinya , sebaliknya tidak melihat kepada burung helang yang memberikan bantuan kepada pemuda dhaif tersebut?” desak Ibrahim Adham memancing pemikiran pemuda naif tersebut.

            “Allah sebenarnya mahu memberikan pengajaran supaya kita boleh berfikir bukan sekadar tentang jaminan rezeki tetapi bagaimana untuk menjadi manusia yang boleh membantu orang lain.” Ujar Ibrahim Adham memperbetulkan perkara paling asas . Bukan sekadar cerita tetapi cara membuat kesimpulan.

            “ Kenapa memilih untuk menjadi orang dhaif yang hanya hidup bergantung kepada belas ihsan orang lain? Tidakkah datang semangat untuk menjadi seperti helang yang hebat dan berupaya membantu orang lain?”
            Kepala pemuda itu terangguk-angguk faham. Dia tersentak, ada lagi yang tidak disedari dalam pengembaraan hebatnya. Ada sesuatu yang silap, bukan apa yang dilihat tetapi bagaimana dia membuat kesimpulan.

            Benar, nasihat Ibrahim Adham itu masih lagi terpakai sehingga kini. Apa yang dilihat oleh seseorang itu belum tentu dapat memberikannya manfaat. Hal ini dipengaruhi bagaimana dia menterjemah kesimpulan dan membuat perspektif terhadap apa yang dilihatnya.

Ramai orang yang diberi peluang untuk menjelajah ke seluruh pelosok dunia dan melalui pengalaman yang menakjubkan. Malangnya mereka ini tersalah dalam membuat tafsiran serta tersilap merangkum kesimpulan. Di hujung cerita , tiada pengajaran bermakna.


            Oleh itu, dalam menafsir sesuatu kejadian yang berlaku, manfaatkan sepenuhnya anugerah akal yang dikurniakan Allah dengan diiringi hati yang tawajjuh kepada Allah supaya tafsiran yang dilakukan tepat dan bermanfaat untuk diri dan orang lain.

Sebuah buku lama yang ditulis oleh Syeikh Abdul Halim Al Kinani, seorang pendakwah yang terkenal dengan keiltizamannya membawa Islam kepada ummah. Syeikh Muhammad Abdullah al Khatib memuji karya Asy Syeikh Abdul Halim sebagai bingkisan yang kecil pada saiznya, tetapi sangat besar pada nilai dan pengertiannya. Terutama apabila beliau menjelaskan marhalah dakwah.

Suka saya berkongsi bahan dan hasil baca ini demi sama-sama kita merealisasikan satu usaha murni dalam perjuangan kita untuk membawa Islam sampai kepada setiap insan di mana sampainya cahaya matahari. 

Beberapa Peringkat Dakwah Fardiyyah :

  • Mewujudkan Kasih sayang, kepercayaan dan saling mengenali.
Ia merupakan peringkat (marhalah) pertama dan paling asas dalam dakwah. Ia perlu dilaksanakan dengan baik justeru ia akan memainkan peranan yang besar untuk menjayakan malah menyempurnakan peringkat seterusnya. Terutama dalam usaha untuk meyakinkan dan mempengaruhi sasaran dakwah kita (madu'u).

Pada peringkat ini mempunyai beberapa nokhtah yang perlu diberi perhatian oleh kita khasnya pendakwah :
  1. Percaya kepada pendakwah daripada sudut keikhlasan amalan, dakwah, komitmen agama dan kebaikan yang diserunya.
  2. Percaya kepada wibawa, pemahaman, pengalaman, kesesuaian pendakwah untuk diambil dan diterima segala nasihat dan pandangannya.
Kepercayaan ini tidak akan datang tanpa usaha atau secara spontan. Ia memerlukan pendakwah yang layak dipercayai. Sementara orang yang layak dipercayai ialah orang yang mempunyai akhlak dan adab-adab Islam serta komitmen yang tinggi terhadap hukum hakam Islam.

Mengenali sasaran dakwah (madu'u) secara mendalam dan jelas sehingga dia dapat mengenali personaliti dan kunci kepada peribadinya. Ini meletakkan pendakwah boleh menggunakan cara interaksi yang tepat dan berkesan dalam usaha mempengaruhi dan meyakinkannya. Antara noktah penting untuk mencapai objektif peringkat ini disebut oleh Syeikh Abdul Halim Al Kinani ialah :
  1. Pendakwah mesti mengikhlaskan niatnya dan berdoa untuk sasaran dakwahnya semasa ketiadaannya agar Allah Taala membuka pintu kepada hidayah, melapangkan dadanya kepada dakwah dan menyelamatkannya dari neraka.
  2. Memelihara adab-adab pergaulan dan berbicara dengannya.
  3. Bersungguh-sungguh untuk melihat dan bertemunya secara berterusan serta bertanya khabarnya apabila dia tiada.
  4. Berwajah ceria ketika bertemu. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya,"Kamu tidak mampu mengembirakan manusia dengan harta kamu tetapi kamu dapat lakukannya dengan muka berseri dan akhlak yang baik." 
  5. Mulakan dengan salam dan berjabat tangan. Sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya, "Adakah kamu suka aku tunjukkan kepada kamu satu amalan, jika kamu lakukan akan mengeratkan lagi kasih sayang antara kamu? Sampaikanlah salam antara kamu."
Syeikh Abdul Halim al Kinani menyebut lagi bahawa pengukur kepada kejayaan pada peringkat ini ialah melihat kepada bagaimana jawapan kepada soalan-soalan berikut :
  1. Adakah sasaran dakwah menganggap pendakwah sebagai rakan yang lebih istemewa dari rakan-rakannya yang lain?
  2. Adakah sasaran dakwah pernah bercakap dengan pendakwah menggunakan bahasa yang mesra dan biasa ataupun masih bersifat hipokrit atau waspada?
  3. Adakah sasaran dakwah merasa atau memperlihatkan rasa jauh diri atau tidak selesa terhadap beberapa sifat, cara interaksi dan percakapan pendakwah?
  4. Adakah sasaran dakwah merasa minat untuk menziarahi pendakwah? Adakah dia pernah menjemput pendakwah untuk menziarahinya?
  5. Adakah pendakwah dapat merasakan sasaran dakwah memberi respons yang baik terhadapnya pada setiap kali pertemuan, salam, pergaulan, percakapan dan lain-lain?
  6. Adakah sasaran dakwah mula berbicara tentang perasaan, keperihatinan, keadaan dan segala apa yang bermain dimindanya?
  7. Adakah dia menemui pendakwah untuk menyelesaikan segala masalah dan situasi yang menimpanya?
  8. Adakah dia merasakan bahawa pendakwah layak dan sesuai untuk ditanya dan diminta pandangan?
  9. Adakah dia diam untuk mendengar percakapan pendakwah dan menyertainya atau dia akan membantah, membidas atau langsung tidak ambil peduli.
  10. Adakah wujud kesan yang jelas dari amalan bertukar-tukar hadiah antara pendakwah dan sasarannya?
Dengan menjawab semua soalan-soalan ini pendakwah mampu mengukur sejauh mana kejayaannnya pada peringkat yang pertama ini dan sejauh mana ia mencapai matlamat yang diharapkan.

Syeikh Abdul Halim al Kinani menyebut bahawa faktor utama kepada segala masalah yang melanda umat Islam bukannya kerana aspek kekurangan kuantiti (bilangan) penganut, harta benda, kekuatan material atau lain-lain aspek dan kemudahan.

Sebaliknya segala masalah (konflik dan krisis) yang berlaku adalah disebabkan kelemahan yang menimpa jiwa dan penyakit al wahnu (cinta dunia dan takutkan mati) yang menguasai hati, di samping kelalaian (dengan kemewahan dunia) yang akhirnya melumpuhkan semangat serta mematikan kesungguhan dan keazaman mereka.

Umat pada hari ini seperti yang pernah disebut oleh Rasulullah S.A.W dengan mafhumnya,"...Bahkan pada masa itu bilangan kamu sebenarnya amat ramai tetapi kamu hanyalah seperti bebusa buih."

Kelemahan umat hari ini sebahagiannya tidak mampu menghadapi godaan dan syahwat dunia. Hati juga tidak mampu menjadikan jiwa terlepas dari dosa dan kehinaan. Inilah penyakit yang paling dahsyat menimpa ummah dewasa ini.

Umat Islam tidak akan mampu menyelesaikan dan memadamkan gejala, kehinaan dan kebejatan yang dihadapi ini kecuali dengan melakukan perubahan total dalam peribadi seseorang Muslim. Perubahan yang dilakukan hendaklah perubahan dasar dan mendalam, bukan hanya perubahan luaran dan kulit semata-mata. Titik mula kepada perubahan ini ialah membangkitkan iman dan aqidah di dalam hati. Apabila makrifatullah mula menyelinap di dalam hati seseorang manusia, pasti sahaja ia akan berubah menjadi insan yang bertaqwa dan soleh.

Syeikh Abdul Halim al Kinani turut menggariskan langkah-langkah teknikal untuk mencapai matlamat dakwah diperingkat ini :
  • Pendakwah hendaklah menjadi ikutan yang baik, benar-benar komited dan terkesan dengan pengertian iman sebelum memindahkannya kepada sasaran dakwah.
  • Perbincangan secara langsung dan dua hala berlaku antara pendakwah dan sasaran dakwah (madu'u). Ia bertujuan untuk memindahkan pengertian-pengertian dan cetusan-cetusan iman ketika ziarah, pertemuan dan perbualan.
Syeikh Abdul Halim al Kinani turut menyarankan agar pendakwah memimpin sasaran dakwah (madu'u) secara praktikal :
  • Mendorong dan menggalakkan supaya bertaubat dan menjelaskan kepentingan untuk segera bertaubat.
  • Meninggalkan segala dosa, maksiat dan mungkar serta tidak lagi mengekalinya. Serentak itu merangsangnya untuk melakukan taat dan ibadat kepada Allah.
  • Mendorong agar mengikat diri dengan al Quran dan sunnah. Mendengar, membaca, memahami, melaksana dan menghayatinya.
  • Memberikan peringatan (inzaar) dan galakan kepada madu'u (sasaran dakwah).
  • Memberi galakan dan ancaman agar tertanam rasa ingin mengabdikan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala hukum-hakam Allah dan dalam masa yang sama takut akan azab Allah akibat kecuaian dan kedegilan melaksanakan syariat Allah Taala.
  • Islam adalah cara hidup yang mesti diterima oleh semua. Tiada siapa yang berhak menghalang Islam ini dikembangkan sebagaimana tiada siapa yang berhak menghalang dirinya sendiri dari menerima Islam, cara hidup yang diwahyukan Allah Taala.
  • Memberi amaran dan ingatan supaya mengharapkan rahmat dan keampunan Allah sebelum mati sedang mati itu datang secara tiba-tiba dan azab Allah itu sangatlah pedih.
"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta." - Taha:124

Apakah maksud Dakwah dan siapakah Pendakwah yang sebenarnya?

Dakwah bermaksud menyeru manusia kepada Allah swt samada dia seorang Muazzin yang menyeru manusia kepada Solat, seorang pendita yang berdakwah dengan mata pena, seorang Mujahid yang berjuang dengan pedang atau seorang penghujah yang berhujah dengan ketajaman akal dan lidah yang lantang.

Dakwah adalah tanggungjawab setiap mereka yang mengaku sebagai seorang umat Nabi Muhammad saw sebagai tersebut didalam firman Allah swt didalam Surah Ali-Imran Ayat 110:-

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ (110)

“Kamu adalah Ummat yang terbaik yang pernah dikeluarkan kepada seluruh manusia. Kamu mengajak kepada kebaikan dan kamu mencegah dari keburukan. Dan kamu beriman kepada Allah”


Dalam ayat ini, Iman yang merupakan asas kepada agama diletakkan selepas kerja Amar Maaruf Nahi Munkar, bukannya diletakkan dipermulaan ayat tersebut. Para Mufassir menafsirkan bahawa apabila kita membuat kerja Dakwah maka disitulah datangnya keimanan yang tulen kepada Allah swt. 

Syarat untuk berdakwah bukanlah menunggu sehingga orang itu benar-benar beriman atau sudah lengkap ilmu dan amalan agamanya. Ini sejajar dengan usaha para Sahabat r.anhum yang telah menjadikan kerja dakwah sebaik sahaja mereka mengucap Dua Kalimah Syahadah. Saidina Abu Bakar contohnya telah membawa 10 orang untuk memeluk Islam pada hari pertama dia memeluk Islam.

Dakwah adalah satu kerja dan tanggungjawab, bukannya satu kerjaya atau tugas mana-mana individu atau pertubuhan berdaftar atau NGO. Setiap ummat adalah bertanggungjawab keatas seluruh ummat Islam diseluruh dunia dan seluruh ummat Islam seluruh dunia adalah bertanggungjawab keatas setiap ummat.

Dakwah tercetus bermula dengan fikir dan risau Nabi saw. Apakah fikir dan risau Nabi saw? Fikir dan risau Nabi saw keatas ummatnya bukanlah atas maksud dunia, kekayaan, kemajuan dan teknologi tetapi fikir risau Nabi saw keatas ummatnya adalah bagaimana setiap ummatnya sehingga bayi yang terakhir sebelum qiamat dapat selamat dari azab api neraka dan masuk kedalam syurga Allah swt kerana inilah sahaja kejayaan yang hakiki.

Dalam keadaan maksiat yang berleluasa dan keadaanummah jahiliyah, Nabi begitu risau dan runsing akan keadaan manusia ketika itu lalu Baginda saw tidak sanggup melihat keadaan masyarakat dan Baginda terus menerus berkhalwat di Gua Hira di Jabal Noor. Ketika itu Baginda saw dipanggil dengan gelaran Al-Amin yang bermaksud orang yang boleh dipercayai.

Risau Nabi tidak membawa apa-apa perubahan kepada manusia sehinggalah turunnya ayat pertama dari Surah Al-Muddatsir yang bermaksud:-

“Wahai kamu yang berselubung, Bangunlah dan berilah peringatan. Dan Tuhan kamu Agungkan. Dan pakaian kamu bersihkan…(Ayat 1-4)

Maka Nabi saw telah membuat dakwah secara sembunyi diawalnya dan secara terang-terang dikemudiannya. Dengan usaha dakwah Nabi saw itu bermulalah satu perubahan yang membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari kekufuran kepada keimanan kepada Allah swt.

Nabi telah berdakwah dengan 4 cara iaitu secara Infradi (Individu), Ijtimai (Public), Khususi (Golongan Khawas) dan Umumi (Orang Awam). Khutbah atau ceramah hanya satu bahagian dari cabang Dakwah, bukan keseluruhan. Pendakwah yang sempurna adalah mereka yang membuat kesemua 4 cabang dakwah ini.

Nabi dan Sahabat berdakwah dengan pengorbanan diri dan harta masing-masing. Begitu juga dengan seorang Pendakwah, harus ikhlas dan sanggup berkorban diri, harta dan masa untuk mengajak manusia supaya mentaati perintah Allah. Kesan dari dakwah seorang yang bersusah payah berkorban diri dan harta semata-mata kerana Allah begitu jauh beza dengan pendakwah yang dibayar atau makan gaji.

Dakwah mestilah dibuat secara istiqamah dan berulang-ulang, dengan sabar dan menganggap yang kita tiada daya melainkan Allah swt sahaja yang dapat memberi Hidayah kepada orang yang kita jumpa.

"Demi masa sesungguhnya semua manusia itu didalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan Haq dan berpesan-pesan dengan Sabar" Al-Asyr Ayat 1-5

Para mufassir menafsirkan bahawa 'yang Haq' adalah Kalimah Laailaha illallah dan 'Sabar' bermaksud berdakwah dengan istiqamah sehingga keakhir hayat. Walaupun orang itu sudah kita jumpa berpuluh kali dan dia menentang namun kita tetap tidak berputus asa kerana Hidayah adalah hakmilik Allah swt.

Dakwah haruslah dibuat secara jemaah, bukan secara individu atau seorang diri. Nabi saw dan para Sahabat r.anhum adalah dalam satu jemaah ketika dimasjid atau dimedan jihad. Ada juga jemaah kecil yang dihantar oleh Nabi saw kesatu daerah untuk berdakwah atau mengajar ilmu agama dan Al-Quran kepada mereka.

Mereka yang berdakwah secara berjemaah tidak bebas untuk berbuat apa sahaja. Jemaah akan dipimpin oleh seorang Amir dan segala keputusan adalah dengan mesyuarat cara Nabi saw. Dengan ini kita akan terpelihara dari kejahatan nafsu dan tipudaya oleh syaitan yang begitu licik dan memang anti dengan mereka yang mengajak manusia kepada Allah swt.

Jika kita berdakwah seorang diri, maka kita mudah terpesong atau tewas jika diuji oleh Allah swt. Ujian yang paling besar bagi seorang pendakwah bukanlah dimaki, diherdik, dicaci atau dikeji tetapi ujian yang hebat adalah seorang pendakwah itu disanjung, dipuji, diberi kekayaan dunia dan diberi pangkat dalam masyarakat. Itu belum termasuk ujian dengan wanita cantik, peluang perniagaan ataupun tender kontrak dan sebagainya sehingga dia lupa akan tanggungjawab yang sebenarnya.

Pendakwah harus selalu ceritakan perkara yang Haq untuk menegakkan yang Haq. Barulah kebatilan akan tenggelam dan Haq akan muncul. Cerita pasal keruntuhan sosial tidaklah perlu dikupas secara terperinci kerana kita sedia maklum melalui media massa.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk" (An-Nahl: 125)


Nabi saw berdakwah dengan menceritakan kehebatan dan keagungan Allah serta memberitahu khabar gembira akan janji-janji Allah di Syurga nanti. Banyak hadits-hadits Nabi tentang Fadhilat atau kelebihan amal supaya Sahabat yang ketika itu diuji dengan begitu hebat, disiksa, dibunuh dan dipulau oleh golongan Kafir Quraisy merasa sabar dan semakin meningkat keimanan mereka dari hari ke hari.

Pendakwah juga harus menjaga akhlaq dan adab bermasyarakat supaya bukan sekadar pandai berpidato tetapi Solat Jemaah harus dijaga, budi bicara kena lemah lembut dan sedap didengar. Setiap malam diwajibkan keatas setiap Nabi dan Rasul untuk bangun Solat Tahajud. 

AKU BUKAN PENDAKWAH

Aku belum lagi layak dipanggil DAIE ataupun PENDAKWAH. Aku baru belajar mengajak atau mengingatkan orang yang aku jumpa tentang kehebatan Allah dan tentang kehidupan Akhirat yang kekal selama-lamanya. Semoga dengan mengingatkan orang lain, maka aku juga dapat mengingatkan diri ini yang selalu lalai dan lupa. 

Pendakwah yang sebenarnya adalah Para Sahabat r.anhum yang telah meninggalkan segala yang mereka cintai demi menyebarkan Kalimah Allah diatas muka bumi ini. Asbab pengorbanan merekalah kita hari ini dapat mengecap nikmat Iman dan Islam.

Aku juga tidak BEBAS. Aku terikat dengan hukum dan perintah Allah. Setiap perbuatan dan gerak-geriku sedang diperhatikan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Aku begitu takut jika ada niatku yang tidak betul dan aku begitu takut dengan balasan Allah keatas dosa-dosa dan kesilapanku samada disedari ataupun tidak. Semoga Allah swt memeliharaku dan memberiku Hidayah dan petunjuk kerana akulah yang benar-benar memerlukan Hidayah dariNya. 

Secara ringkasnya tugas pendakwah bukanlah satu kerja yang mudah tetapi begitu mencabar kerana perlu berkorban harta dan diri dan masa disamping ikhlas dan hanya mengharapkan keredhaan dari Allah swt semata-mata. Namun begitu ganjaran yang disediakan oleh Allah swt adalah begitu besar. 

Syurga yang paling tinggi adalah Firdaus dimana segala anak sungai bermula dari situ. Firdaus adalah untuk para Anbia dan Mursalin, para Sahabat, Salafussolehin serta Ummat Nabi Muhammad saw yang membuat kerja menyambung Risalah Nabi sehingga kehari Qiamat.


"Wahai Allah, Engkau bantulah mereka yang membantu Agama Muhammad SAW dan masukkan kami dalam golongan tersebut. Aamin Ya Rabbal Alamin"

HAFIZI AL-HAFIZ

HAFIZI AL-HAFIZ
Nama beliau Muhammad Hafizi bin Rajiman. Bekas penuntut di SBPI Gombak dan Darul Quran JAKIM. Beliau merupakan aktivis dakwah kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dakwah.Beliau mula aktif dalam bidang penulisan sejak pertengahan tahun 2011 dalam blog peribadi beliau, hafizimujahid.blogspot.com

Qalam Qalbi

"Tahap cinta seseorang manusia kepada Allah adalah sejauh mana dia mengenal Allah.''

Popular Posts

Total Pageviews

Followers